Islamabad: Virus polio liar jenis 1 dikesan dalam sampel kumbahan dari 11 lokasi di seluruh Pakistan, menurut pihak berkuasa kesihatan negara itu pada Ahad, lapor Agensi Berita Xinhua.
Sebanyak 24 sampel kumbahan diuji pada Jun.
Daripada jumlah itu, 13 didapati negatif, manakala 11 sampel mengesahkan kehadiran virus polio.
Menurut pihak berkuasa, penurunan dalam penularan virus itu adalah hasil daripada pemantauan yang lebih baik serta kempen vaksinasi berkualiti tinggi yang dilaksanakan di seluruh negara.
Sebagai sebahagian usaha berterusan membasmi penyakit itu, kempen imunisasi khas akan dijalankan dari 14 hingga 18 Julai di beberapa kawasan di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa dan wilayah utara Gilgit-Baltistan, menyasarkan lebih 150,000 kanak-kanak.
Kempen susulan turut dirancang di Islamabad dan bandar kembarnya Rawalpindi dengan sasaran memvaksin lebih 160,000 kanak-kanak.
Pakistan kekal sebagai satu daripada hanya dua negara di dunia di mana virus polio liar masih endemik.
© New Straits Times Press (M) Bhd