Virus Zika dikesan di Kerala – Utusan Digital

Virus Zika dikesan di Kerala – Utusan Digital

KOCHI: Pihak berkuasa di Kerala, selatan India mengeluarkan amaran selepas satu kes virus Zika dilaporkan di negeri tersebut.

Menteri Kesihatan Kerala, Veena George berkata, sebanyak 13 lagi kes yang disyaki berkaitan virus itu sedang disiasat.

Katanya, sampel daripada 13 kes disyaki itu sudah dihantar ke sebuah makmal di Pune untuk siasatan lanjut.

Dilaporkan, seorang wanita mengandung berusia 24 tahun dikesan dijangkiti dengan penyakit bawaan nyamuk itu.

Wanita itu ketika ini sedang menerima rawatan di sebuah hospital di bandar Thiruvananthapuram.

Menurut pegawai, wanita tersebut menunjukkan beberapa gejala termasuk demam, sakit kepala dan ruam sebelum dimasukkan ke hospital yang mana melahirkan anak dengan selamat pada Rabu lalu.

Wanita mengandung dikatakan mudah terdedah dan virus itu boleh menjangkiti bayinya sehingga menyebabkan sindrom Guillain-Barre atau penyakit gangguan saraf.

Virus tersebut mula ditemukan pada monyet di hutan Zika, Uganda pada tahun 1947 dan menyebabkan penularan wabak di seluruh dunia sejak beberapa dekad lalu.

Sehingga kini, tiada vaksin atau ubat anti virus bagi mencegah atau mengubati virus tersebut. – AFP

Scroll to Top