Visibiliti lonjak martabat atlet wanita – Blanka

Visibiliti lonjak martabat atlet wanita – Blanka

Bengaluru: Legenda lompat tinggi Croatia, Blanka Vlasic, percaya perubahan paling besar dalam sukan wanita bukan diukur melalui sentimeter atau rekod lompatan, sebaliknya menerusi peningkatan visibiliti.

Pemenang dua pingat Olimpik itu berkata, pendedahan lebih meluas terhadap cabaran dan kejayaan atlet wanita kini mengangkat mereka sebagai figura awam setanding lelaki.

“Wanita dalam sukan kini figura awam yang kuat, sama kuat seperti lelaki.

“Visibiliti terhadap perjuangan dan apa yang perlu mereka lalui untuk menjadi atlet elit kini menjadi topik yang dibincangkan, sekali gus membuatkan kita lebih menghargai sukan wanita,” katanya ketika berperanan sebagai Duta Acara Antarabangsa World 10K Bengaluru.

Atlet berusia 42 tahun itu memenangi perak di Olimpik Beijing 2008 dan gangsa di Olimpik Rio 2016, selain dua kali muncul juara dunia.

Menurutnya, peningkatan visibiliti turut membawa tanggungjawab kepada badan pentadbir untuk memastikan ketelusan, khususnya dalam peraturan kelayakan acara wanita.

Bulan lalu, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa mengumumkan acara wanita di Olimpik Los Angeles 2028 akan membabitkan saringan genetik sekali sahaja bagi memastikan hanya wanita biologikal layak bertanding.

Langkah itu menyusul pendekatan Olahraga Dunia yang memperkenalkan ujian genetik pada Kejohanan Dunia di Tokyo tahun lalu.

“Dalam sukan, semuanya perlu jelas dan telus. Keperluan serta kategori wanita perlu dilindungi.

“Jika kita bersaing dalam kategori tertentu, semua perlu berada pada syarat yang sama,” katanya.

Dengan ketinggian 1.93 meter, Blanka pernah mendominasi acara lompat tinggi wanita lebih sedekad, termasuk meraih dua emas dunia dalam dewan dan tiga emas Olahraga Dunia Final.

Namun, kariernya sering diganggu kecederaan, termasuk masalah Achilles berpanjangan sebelum dia bersara pada 2021.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top