Vissel Kobe mahu ranap impian JDT

Vissel Kobe mahu ranap impian JDT

ISKANDAR PUTERI: Ketua jurulatih Vissel Kobe, Michael Skibbe mahu meranapkan impian Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Sehubungan itu pihaknya bakal menurunkan kesebelasan terbaik skuad yang kini menghuni tangga teratas kumpulan bagi memburu kemenangan di tempat lawan.

“Walaupun kami sudah layak ke pusingan 16 terbaik, tetapi kami tidak akan beri laluan mudah kepada JDT. Dalam mana-mana perlawanan kami turun padang untuk menang. Tiga mata penting begitu juga persembahan pemain.

“Jadi kami akan beraksi bersungguh-sungguh untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan ACLE,” katanya pada sidang akhbar pra-perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Skibbe bagaimanapun tetap memuji JDT yang diketahui merupakan salah satu daripada pasukan terbaik di rantau Asia Tenggara.

“Kami tahu standard yang diperlukan untuk berentap dengan JDT, mereka adalah lawan yang konsisten dalam beberapa tahun kebelakangan ini termasuk di pentas antarabangsa.

“Perjalanan selama hampir 13 jam dari Osaka ke Johor Bahru serta keadaan cuaca yang hampir sama seperti musim panas di Jepun juga tidak menjejaskan semangat kami,* katanya.

Menurut Skibbe lagi, beberapa pemain utamanya tidak dapat bersama pasukan esok kerana mempunyai komitmen dengan dalam saingan Liga Jepun.

“Ramai pemain telah mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari. Namun saya percaya dengan skuad yang kami bawa. Kami mempunyai lebih 25 pemain berkualiti dan bersedia untuk diturunkan,” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top