Vissel Kobe main perang psikologi, anggap bernasib baik jika benam JDT

Vissel Kobe main perang psikologi, anggap bernasib baik jika benam JDT

sukan@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Vissel Kobe tampak mengatur ‘perang psikologi’ apabila pengendalinya, Michael Skibbe menegaskan mereka akan bernasib baik seandainya mampu menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Skibbe menegaskan skuadnya yang dibarisi pemain kelahiran Jepun akan berdepan pemain JDT yang bertaraf antarabangsa dan pasti ia akan menjadi perlawanan menarik dan memberi cabaran baru buat mereka.

“Kami terpaksa mengharungi perjalanan jauh dari Osaka ke Johor Bahru selama 13 jam dan ia amat memenatkan.

“Tapi semuanya asam garam bagi mengharungi saingan ACLE dan kami hanya membuat persiapan dalam tempoh singkat iaitu empat minggu sebelum Liga 1 Jepun (J1 League).

“Ada beberapa pemain yang tidak dibawa ke Johor Bahru kerana mengalami kecederaan malah kami ada perlawanan domestik minggu depan.

“Namun, itu bukan masalah kerana pemain sedia ada memiliki kualiti setanding dengan pemain utama dan agak menarik kerana kami akan menentang pemain JDT yang dibarisi dari Brazil dan Eropah terutama dari Sepanyol,” katanya.

Menurutnya, walaupun sudah layak ke pusingan 16 terbaik, pihak pengurusan tidak mahu mereka bermain sambil lewa atau memberi laluan mudah kepada JDT.

Sebaliknya, katanya, mereka akan beraksi bersungguh-sungguh untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan ACLE.

Mengulas mengenai kekuatan JDT, pengendali kelahiran Jerman itu berkata, skuad kendalian Xisco Munoz pasti akan turun habis-habisan bagi memburu kemenangan kerana memerlukan tiga mata untuk berada dalam kelompok lapan terbaik yang mara ke pusingan 16 terbaik.

“Secara logiknya, kami bukan datang untuk tewas walaupun ia perlawanan persahabatan, aksi liga atau perlawanan menentukan kejuaraan, sudah tentu akan bermain sebaik mungkin dan berusaha untuk menang.

“Ini yang akan kami lakukan dan tampil dengan prestasi terbaik walaupun sedar JDT tidak akan beri laluan mudah,” ujar Skibbe.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top