hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar diminta hadir semula ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Putrajaya bagi merakam keterangan esok.
Sumber berkata, pemeriksaan ke premis syarikat berkenaan juga sudah selesai dijalankan petang tadi.
“Kedua-dua individu berkenaan diminta untuk hadir semula pada jam 10 pagi esok bagi menyambung keterangan,” katanya.
Terdahulu, Vivy dan suami selesai dirakam percakapan selepas beredar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, petang tadi.
Pasangan itu yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) hitam dilihat beredar pada 4.23 petang, selepas tiga jam memberi keterangan.
Suami isteri itu hadir sekali lagi hari ini untuk menyambung rakaman percakapan susulan kerugian pelaburan dana Khazanah Berhad Nasional (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RMRM43.9 juta.
Bagaimanapun cubaan media untuk menemubual mereka gagal selepas kenderaan membawa kedua-duanya tidak berhenti dan terus meninggalkan Ibu Pejabat SPRM.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya menyambung sesi merakam percakapan pasangan itu hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




