Vivy Yusof, Fadza Mengaku Tak Bersalah Kes Pecah Amanah RM8 Juta, Dilepaskan Dengan Jaminan RM100,000 Seorang & Diarah Serah Pasport

Vivy Yusof, Fadza Mengaku Tak Bersalah Kes Pecah Amanah RM8 Juta, Dilepaskan Dengan Jaminan RM100,000 Seorang & Diarah Serah Pasport

Usahawan, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar mengaku tidak bersalah ke atas tuduhan pecah amanah membabitkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, enam tahun lalu.

Vivy dan Fadza selaku pengasas platform e-dagang FashionValet diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB didakwa telah melakukan transaksi jumlah tersebut dari akaun bank milik syarikat fesyen itu ke syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah sekitar tahun 2018.

“Faham, mengaku tidak bersalah,” katanya sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.

Pasangan suami isteri ini dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaaam yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) selaku Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan jaminan berjumlah RM100,000 ke RM200,000 setiap seorang.

Wan Shaharuddin turut mengemukakan syarat tambahan meminta Vivy dan Fadza menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Putrajaya.

Namun begitu, Peguam Ashok Athimulan yang mewakili Vivy dan Fazda memohon jaminan rendah ke atas kedua-dua anak guamnya itu atas alasan mempunyai masalah kewangan selepas akaun bank mereka dibekukan.

Hakim, Rosli Ahmad membenarkan Vivy dan Fadza diikat jamin sebanyak RM100,000 seorang dan kes disambung pada 22 Januari depan, selain turut diperintah menyerahkan pasport antarabangsa kepada pihak mahkamah.

Terdahulu, Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengalami kerugian berjumlah RM43.9 juta, yang diperoleh menerusi hasil penjualan pegangan minoriti dalam platform e-dagang, FashionValet.

Susulan itu, Vivy dan Fadza juga telah melepaskan jawatan sebagai pengasas platform e-dagang tersebut.

Artikel Berkaitan: Pecah Amanah, Vivy Yusof & Suami Didakwa Seleweng Dana RM43.9 Juta

Artikel Berkaitan: SPRM Sita 11 Beg & Jam Tangan Mewah Milik Vivy Yusof, Fadza Bernilai RM200,000

Artikel Berkaitan: Isu Kerugian Pelaburan Dana Awam, Vivy Yusof & Fadza Anuar Letak Jawatan Dalam FashionValet – “Kami Bertanggungjawab Atas Kegagalan Ini”

Sumber: Berita Harian, OhBulan

Scroll to Top