Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pengasas Fashion Valet, Datin Vivy Yusof dan suaminya untuk mendapatkan pasport menguruskan visa menunaikan ibadah haji.
Memetik BH Online, keputusan itu dibuat Hakim Rosli Ahmad membenarkan permohonan peguam Shaarvin Raaj yang mewakili pasangan itu mendapatkan pasport mereka.
BACA: Vivy Yusof, Suami Dapat Semula Pasport Untuk Sertai Percutian Islamik Di Istanbul
“Pasport akan diserahkan kepada kedua-dua pemohon hari ini dan pemohon perlu mengembalikan pasport mereka kepada mahkamah pada Isnin ini,” katanya.
Menurut Shaarvin, selepas anak guamnya menguruskan permohonan visa dan visa diperoleh mereka akan menempah tiket bagi menunaikan ibadah haji.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry berkata pihak pendakwaan tidak membantah permohonan pasangan itu.
Pada 5 Disember 2024, Vivy dan Fadzarudin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) serta Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.
Sumber: BH Online




