Los Angeles: Penyanyi utama dan penulis lagu 3 Doors Down, Brad Arnold, 47, meninggal dunia selepas bertarung dengan kanser, umum kumpulan rock itu di platform X.
“Dia akan sangat dirindui dan diingati selamanya,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Kumpulan itu paling dikenali menerusi lagu hits rock tahun 2000-an seperti Kryptonite, Here Without You, When I’m Gone dan Loser.
Pada Mei 2025, Arnold mengumumkan dia sakit dan menerima diagnosis karsinoma sel jernih buah pinggang tahap empat iaitu sejenis kanser buah pinggang sudah merebak ke paru-parunya.
“Saya tidak takut, saya benar-benar ikhlas tidak takut langsung dengannya,” kata penyanyi itu sambil menambah dia kecewa kerana kumpulan terbabit terpaksa membatalkan jelajah akan datang.
“Saya mahu anda mendoakan saya setiap peluang diperoleh,” katanya.
Arnold disifatkan membantu mentakrifkan semula muzik rock arus perdana dengan menggabungkan muzik grunge bersama penulisan lagu beremosi serta tema lirik dekat di hati pendengar.
Kumpulan asal ditubuhkan di Mississippi pada pertengahan 1990-an. Seorang lagi ahli pengasas trio asal, Matt Roberts, meninggal dunia pada 2016 sewaktu berusia 38 tahun.
Arnold menulis Kryptonite iaitu lagu hit lonjakan kumpulan terbabit pada tahun 2000 sewaktu dalam kelas matematik pada umur 15 tahun.
Orang paling rapat Arnold akan mengingatinya bukan sahaja bakatnya, tetapi kemesraan, kerendahan hati, iman serta kasih sayang mendalam terhadap keluarga dan rakan-rakannya. Dia meninggalkan isterinya, Jennifer.
Kumpulan itu kerap didengari di radio rock dan pop sepanjang tahun 2000-an serta 2010-an. Mereka sudah memenangi tiga Anugerah Muzik Billboard.
Album sulung mereka The Better Life adalah album ke-11 paling laris pada era itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



