Vokalis Adi Priyo umum keluar 6ixth Sense, fokus bergerak solo

Vokalis Adi Priyo umum keluar 6ixth Sense, fokus bergerak solo

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas dua dekad bersama 6ixth Sense sebagai vokalis utama, komposer dan penulis lirik, Adi Priyo, 43, membuat keputusan meninggalkan kumpulan yang ditubuhkan pada 2005 itu.

Adi atau nama sebenar, Adi Priyo Sambodo yang berasal dari Jamber, Indonesia berkata, dia membuat keputusan ‘angkat kaki’ daripada 6ixth Sense atas pilihan sendiri untuk bergerak solo dan sama sekali tidak terkait dengan pergaduhan.

“Saya datang ke Malaysia dulu pun kerana ingin bermain muzik di sini. Malah, selepas 20 tahun bergerak dengan 6ixth Sense, saya memikirkan sudah tiba masa mengundur diri seketika sebagai vokalis utama. Saya mahu fokus bergerak solo.

“Ditambah, stamina saya sudah tidak seperti dulu untuk kekal bertenaga ketika buat persembahan berkumpulan. Kini, dengan jadual kerja padat, faktor kesihatan dan urusan keluarga turut diambil kira.

“Bagaimanapun, sebelum ini saya pernah menyuarakan hasrat untuk keluar daripada 6ixth Sense kepada anggota lain. Alhamdulillah, mereka faham dan terima kerana masing-masing hormati keputusan saya,” katanya.

Adi berkata demikian pada sidang media Konsert 6ixth Sense: Tak Bisa Memilihmu, di sini, petang tadi yang turut dihadiri empat anggota 6ixth Sense lain iaitu Gjie (keyboard), Wan (dram), Ayoy (bass) dan Athan (gitar).

Konsert istimewa yang menjadi aksi terakhir Adi dengan 6ixth Sense akan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 23 Januari 2027 dengan harga tiket antara RM99 sehingga RM199.

Berbicara lanjut, Adi berkata, pada mula dia enggan terbabit dalam konsert itu, tetapi akhirnya bersetuju atas permintaan serta sokongan peminat dan hubungan baik seperti keluarga dengan anggota 6ixth Sense lain.

“Saya memang tak nak terbabit dalam konsert ini pada mulanya, tetapi selepas dipujuk kawan-kawan, saya fikir ini adalah hadiah terakhir buat peminat 6ixth Sense sebelum saya ‘sign-off’ dengan mereka. Saya akan terus menyokong 6ixth Sense termasuk sekiranya menemui vokalis baharu.

“Apa pun, terpulang kepada rakan-rakan 6ixth Sense untuk buat keputusan mendapatkan khidmat vokalis baharu atau apa sahaja perancangan mereka nanti. Saya doakan yang terbaik dan maju jaya buat 6ixth Sense,” katanya.

Bapa dua cahaya mata ini berkata, dia berharap jualan tiket Konsert 6ixth Sense: Tak Bisa Memilihmu mendapat sambutan positif dan akan berusaha memberi persembahan terbaik dengan menyampaikan kira-kira 20 lagu.

Antara lagu-lagu popular 6ixth Sense seperti Khatimah Cinta, Menyesal, Tanpa, Yang Sempurnakanku, Cinta Matiku, Bintang, Selamat Tinggal Cinta dan Tak Bisa Memilihmu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top