Vowles jamin kekeliruan arahan pemandu Williams tak berulang

Vowles jamin kekeliruan arahan pemandu Williams tak berulang

Grove: Williams melakukan beberapa perubahan bagi mengelakkan kejadian seperti di Grand Prix (GP) Miami berulang apabila Carlos Sainz secara silap menyangka Alex Albon mengingkari arahan supaya tidak memotong, kata ketua pasukan James Vowles.

Sainz mengadu selepas perlumbaan Formula Satu (F1) pada 4 Mei itu dengan mendakwa dia dibuat ‘seperti rasa bodoh’ selepas dimaklumkan Albon akan mengekalkan kedudukan di belakang, namun pemandu dari Thailand itu kemudiannya memotongnya.

“Itu bukan cara saya berlumba. Saya tidak peduli. Saya telah hilang banyak keyakinan di sini, terhadap segala-galanya,” kata pelumba Sepanyol itu yang menyertai Williams dari Ferrari pada Januari, menerusi radio pasukan.

Vowles memberitahu wartawan di kilang pasukan dengan menyatakan isu itu diselesaikan dalam masa kira-kira dua minit sebaik sahaja beliau duduk berbincang dengan kedua-dua pemandu selepas perlumbaan.

Albon menamatkan perlumbaan di tempat kelima manakala Sainz kesembilan dan ia adalah keputusan terbaik Williams dalam enam perlumbaan musim ini.

Pasukan itu kini berada di tangga kelima dalam kedudukan keseluruhan menjelang GP Emilia-Romagna hujung minggu ini di Imola.

Vowles menjelaskan kejadian di Miami adalah kali pertama Williams terpaksa mengeluarkan arahan pasukan yang serius sejak beliau mengambil alih dan ia berpunca daripada masalah penyejukan pada kereta Albon yang memerlukannya sama ada memotong atau menjarakkan diri lebih daripada satu saat untuk membolehkan udara masuk ke radiator.

Masalah itu mencetuskan perbincangan panjang antara jurutera mengenai tindakan yang perlu diambil.

Salah seorang daripada mereka memberi jaminan kepada Sainz bahawa “Alex tidak akan menyerang” sedangkan yang lain masih berbincang mengenai langkah terbaik.

Sainz yang membentuk gandingan mantap bersama Albon di pasukan bekas juara dunia yang kini bangkit semula, mengalami insiden pertama yang dilihat sebagai ketegangan antara mereka.

“Saya boleh beri jaminan ia tidak akan berlaku lagi dengan perubahan yang telah kami buat,” kata Vowles.

“Jurutera perlumbaan, sebenarnya dalam banyak hal, bertindak seperti burung kakak tua. Jadi jika anda berikan arahan yang panjang, mereka perlu fikir dan pecahkan isi pentingnya.

“Jika anda jelaskan arahan ‘jangan memotong’, saya jamin itu akan sampai kepada pemandu kereta dan dia tidak akan memotong.

“Tetapi itu bukan apa yang kami lakukan. Ia adalah perbincangan panjang mengenai semua yang sedang berlaku, di selekoh mana masalah itu berlaku dan bagaimana untuk mengurangkannya, dengan satu arahan tersembunyi di dalamnya.

“Ia hanya perlu pendek, tepat, sampai kepada sasaran, dengan orang yang betul menyampaikannya kepada pihak yang betul, pada yang tepat. Itu sahaja.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top