ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sukan Sea Malaysia 2027 berpotensi menyaksikan kemunculan disiplin baharu dalam acara taekwondo apabila Virtual Taekwondo (VTKD) kini dalam perancangan untuk diperkenalkan sebagai acara pertandingan rasmi.
Pengerusi Teknikal Taekwondo Malaysia (TM), R Dhanaraj berkata, selain dua disiplin sedia ada iaitu kyorugi dan poomsae, pihaknya sedang berusaha membawa masuk satu lagi cabang moden yang lebih berteknologi.
“Sekarang kita cuba perkenalkan VTKD. Atlet akan memakai gogal dan bertarung secara maya. Tahap kecergasan masih tinggi, cuma tiada sentuhan fizikal.
“Mereka berlawan dengan satu figura dalam sistem paparan. Bila angkat kaki, figura itu angkat kaki. Bila menumbuk, figura itu turut menumbuk.
“Ia seperti permainan video, tetapi menggunakan fizikal sendiri,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.
Jelas Dhanraj, pihaknya merancang untuk memperkenalkan tiga acara dalam disiplin berkenaan sekiranya mendapat kelulusan penganjur.
“Kita harap daripada tiga acara itu, sekurang-kurangnya boleh dapat satu atau dua pingat (emas),” katanya optimis.
Keyakinan itu bersandarkan pencapaian terkini apabila Malaysia meraih pingat emas dalam Kejohanan Taekwondo Terbuka Antarabangsa Hope di Kemboja pada Januari lalu.
“Baru-baru ini kita sertai kejohanan di Kemboja dan seorang atlet kita menang emas. Itu sebab kita agak yakin dengan potensi ini.
“Idea ini turut mendapat reaksi positif daripada beberapa negara jiran termasuk Singapura yang menunjukkan minat terhadap konsep ini.
“Kami sudah berbincang dengan negara lain seperti Singapura dan mereka sangat berminat. Mereka minta kita promosikan idea ini.
“Kalau kita laksanakan, saya rasa kita akan dapat sokongan daripada negara Asia lain,” katanya.
Di Sukan Sea Thailand tahun lalu, skuad taekwondo negara meraih satu emas, satu perak dan empat gangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd



