nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
Seri Kembangan: Berita Harian (BH) hari ini menyerahkan sumbangan wang tunai dan keperluan menyambut Ramadan kepada tiga anak bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad, Allahyarham Muhammad Basir Abu Bakar.
Sumbangan menerusi program ‘Wadah Satu Hati’ itu adalah antara pengisian Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) BH yang bertujuan memberi sokongan kepada individu menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan.
Pengarang Kumpulan BH, Zulkifli Jalil, berkata ia adalah sumbangan pertama yang diberikan syarikat media ini dalam program berkenaan.
Katanya, diharapkan sumbangan berkenaan dapat meringankan beban yang ditanggung selepas kematian ibu bapa mereka.
“Ini adalah CSR yang dilaksanakan oleh BH dalam membantu golongan yang memerlukan ketika umat Islam menyambut Ramadan.
“Mereka ini juga adalah penerima pertama dalam program Wadah Satu Hati dan diharapkan selepas ini lebih banyak golongan memerlukan yang kita dapat bantu.
“Program ini tidak terhad kepada penerima manfaat di Lembah Klang, sebaliknya jika ada aduan atau daripada siasatan kami ada individu yang perlu dibantu, kita akan turun ke negeri lain juga.
“Ini adalah sebahagian inisiatif BH dan diharapkan dengan sumbangan seumpama ini, kita dapat meningkatkan kesedaran mengenai golongan tidak bernasib baik ini di mata masyarakat,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada anak Muhammad Basir.
Hadir sama Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir.
Selain memberi sumbangan wang tunai dan barangan keperluan, Wadah Satu Hati turut membawa ketiga-tiga anak Allahyarham berbuka puasa di Hotel Glenmarie and Golf Resort selaku rakan kerjasama program berkenaan.
Muhammad Basir meninggal dunia pada 15 Februari lalu meninggalkan tiga anak berusia 10 hingga 15 tahun, manakala isterinya Noor Azlina Jaafar yang juga bekas jurugambar Kumpulan Utusan meninggal dunia pada 17 Oktober 2023.
Dalam pada itu, anak sulung Muhammad Basir, Nur Iman Zahra, 15, meluahkan rasa terharu dengan sumbangan yang diberikan dan ia sedikit sebanyak dapat membantunya dan dua lagi adik Nur Iman Damia, 13 serta Muhammad Daniel Iman, 10, untuk ke sekolah.
“Sumbangan wang tunai ini akan digunakan sepenuhnya untuk persekolahan kami adik beradik. Terima kasih BH kerana sudi memberikan sumbangan ini.
“Perasaan itu bercampur baur, walaupun ibu dan abah sudah tiada tetapi kami masih diingati dan ada beberapa pihak termasuk rakan ibu dan abah masih membantu memberikan sumbangan.
“Sumbangan ini membuktikan ramai yang menyayangi abah dan ibu. Ramai yang bantu dan ramai ada untuk kami anak-anak Muhammad Basir dan Noor Azlina,” katanya.
Nur Iman Zahra berkata ketika bapanya masih hidup, beliau sering meluahkan rasa keseorangan dan tiada siapa peduli.
“Walaupun dia (abah) rasa keseorangan tapi sebenarnya ramai je yang ada untuknya. Ramai melawatnya ketika sakit.
“Abah ni baik, ramai sebenarnya yang sayang padanya dan datang jenguk kami adik beradik. Saya terharu setiap kali orang datang mereka akan berikan sumbangan dan kata kata semangat kepada saya, setiap kali saya sedih saya akan ingat kembali kata-kata itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd