Wah Idris cadang 'Standing In The Eyes Of The World' jadi Lagu Khas Kebangsaan

Wah Idris cadang 'Standing In The Eyes Of The World' jadi Lagu Khas Kebangsaan

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Komposer dan pemuzik berkaliber, Datuk Wah Idris, meluahkan hasrat untuk membawa lagu Standing In The Eyes Of The World ciptaannya yang dinyanyikan Ella menjadi ‘Lagu Khas Kebangsaan’ selain Negaraku.

Wah, 69, berkata, lagu Standing In The Eyes Of The World yang berusia hampir tiga dekad itu, mula mendapat perhatian ramai selepas menjadi lagu tema Sukan Komanwel (SUKOM) 1998, serta turut disifatkan sudah bertaraf dunia sekali gus warisan negara.

“Saya bangga dapat menghasilkan lagu Standing In The Eyes Of The World ini, dan lirik pula mendapat sentuhan penulisan, Datuk Habsah Hassan. Sejujurnya, ia memang kena dengan kehendak saya yang meminta Habsah menulis lirik ‘neutral’ untuk semarakkan semangat.

“Malah, disesuaikan lagi dengan perkataan Standing In The Eyes Of The World yang memang saya pilih sebagai tajuk lagu. Namun, lebih menariknya apabila lirik memang ditetapkan dalam bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan kita.

“Jadi, saya amat berhasrat agar ia dapat diiktiraf kerajaan menjadi ‘Lagu Khas Kebangsaan’. Apapun, ini antara cadangan saya sahaja, dan masih perlu diteliti setelusnya untuk dibawa kepada pihak kementerian berkaitan bagi perbincangan,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Wah hadir pada forum Standing In The Eyes Of The World: Di Sebalik Proses Kreatif, Memori Kolektif dan Makna Sebuah Lagu bersempena My Symposium on Practice as Research (MySpar) International anjuran Pusat Pengajian Pascasiswazah Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA).

Ujar Wah lagi, semestinya sudah tiba masa juga lagu Standing In The Eyes Of The World diberi pengiktirafan lebih besar dengan diangkat sebagai ‘Lagu Khas Kebangsaan’ yang boleh dimain dan dinyanyikan dalam pelbagai acara rasmi, majlis keramaian serta program negara.

“Apapun, kalau boleh saya tidak mahulah hasrat pada cadangan ini sekadar menjadi perbincangan sahaja, sebaliknya mahu usaha dilakukan dapat betul-betul dibawa kepada pihak kerajaan supaya kedudukan lagu dapat direalisasikan.

“Saya tidak mahu sekadar bercakap atau memasang angan-angan mengenai perkara ini. Kita kena serius dan perlu melaksanakannya. Jadi, saya mahu terus menghidupkannya kerana lagu ini milik kita semua, lagu rakyat Malaysia.

“Kita mahu mengangkat lagu Standing In The Eyes Of The World ini setaraf kedudukan lagu Negaraku. Namun, itu juga bukanlah bermaksud menjadikannya lagu kedua, tetapi saya mahu ia mempunyai identiti dan kedudukan tersendiri sebagai harta intelek warisan,” jelasnya.

Untuk rekod, enam tahun lalu lagu Standing In The Eyes Of The World juga pernah menjadi pilihan oleh Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia untuk karya istimewa ini diberi nafas baharu bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-244 negara itu yang diraikan pada 4 Julai 2020.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top