Philadelphia: Penyerang Ivory Coast, Elye Wahi yang beraksi dalam kemenangan 1-0 ke atas Ecuador pada aksi pembukaan Kumpulan E Piala Dunia 2026 dilaporkan pernah ditahan pihak berkuasa Perancis bulan lalu berhubung siasatan kes mengatur kad kuning.
Menurut laporan The Athletic, pihak berkuasa Perancis sedang menyiasat sama ada pemain berusia 23 tahun itu sengaja menerima kad kuning ketika mewakili Nice dalam perlawanan Ligue 1 menentang Metz pada 17 Mei lalu.
Wahi ditahan pada 29 Mei lalu, namun sehingga kini masih belum didakwa atas sebarang kesalahan jenayah.
Pengaturan insiden dalam perlawanan atau lebih dikenali sebagai “spot fixing” merujuk kepada perbuatan memanipulasi kejadian tertentu dalam sesuatu perlawanan.
Jurucakap pejabat pendakwa raya di Marseille mengesahkan penahanan itu menerusi satu kenyataan kepada The Athletic.
“Kami boleh mengesahkan seorang pemain bola sepak berusia 23 tahun yang beraksi dalam Ligue 1 ditahan pada 29 Mei lalu sebagai sebahagian daripada siasatan yang dibuka oleh pejabat pendakwa raya Marseille berkaitan dakwaan penipuan terancang, rasuah sukan terancang, pengendalian hasil jenayah dan pengubahan wang haram.
“Dia dibebaskan selepas disoal siasat ketika dalam tahanan polis. Siasatan masih diteruskan,” menurut kenyataan itu.
Kad kuning yang menjadi tumpuan siasatan itu adalah kad kuning kelima diterima Wahi sepanjang musim Ligue 1, sekali gus menyebabkan dia digantung untuk aksi pertama playoff penyingkiran Nice menentang Saint Etienne pada 26 Mei lalu.
Nice seri tanpa jaringan dalam perlawanan itu, namun Wahi kembali beraksi pada perlawanan kedua dan menjaringkan dua gol ketika membantu pasukannya menang 4-1 untuk mengelak penyingkiran.
Pada Piala Dunia 2026, Wahi beraksi selama 55 minit ketika Ivory Coast menewaskan Ecuador 1-0 di Philadelphia dalam aksi pembukaan Kumpulan E.
Ivory Coast dijadual berdepan Jerman di Toronto pada Sabtu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




