Wahid pegang janji arwah isteri jaga anak OKU

Wahid pegang janji arwah isteri jaga anak OKU

KULAI – “Saya berpegang janji saya kepada arwah untuk menjaga Aisyah sebaik mungkin kerana ia permintaan terakhirnya sebelum ‘ditidurkan’ pada 12 Ogos lalu.”

Itu luahan A. Wahid Hassan, 56, yang kehilangan isteri tercintanya akibat Covid-19 pada tahun lalu.

Kini bapa tunggal empat orang anak itu terpaksa mengambil alih tugas sebagai seorang ibu menjaga puteri bongsunya, Puteri Balqis, 12, yang mengalami cerebral palsy selain wolf hirschhorn syndrome sejak berusia 11 hari.

Beliau bersengkang mata dan hanya tidur tiga hingga empat jam sahaja bagi menjaga anak istimewa itu.

Beliau yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu juga sentiasa memastikan makan minum anak syurganya yang dipanggil Aisyah itu sebelum anak ketiganya yang berusia 14 tahun mengambil alih tugas menjaga adiknya.

“Faham-fahamlah kerja macam saya kerja 7 malam balik 7 pagi jadi bila sampai rumah saya tidak boleh berehat macam orang lain dan terpaksa uruskan Aisyah dulu.

“Kebiasaannya saya juga akan menghancurkan roti untuk diberikan kepada Aisyah yang tidak mampu berjalan sebaliknya hanya dapat menggerakkan tubuhnya.

“Sebagai ayah memang mencabar bagi menjaga anak perempuan terutama sejak Aisyah datang bulan pertama kali baru-baru ini. Saya akan pastikan akan menukar lampin pakai buang setiap dua jam sekali bagi mengelak dia berasa kurang selesa.

“Walaupun bekerja saya kerap pulang ke rumah bagi memantaunya  dan membersihkan diri Aisyah memandangkan jarak rumah dengan tempat kerja tidak terlalu jauh,” katanya turut memiliki dua anak lelaki berusia 20-an yang bekerja di luar daerah. 

Wahid memberitahu, selepas isterinya meninggal dunia, dia mengambil masa masa hampir tiga bulan bagi belajar mengurus Aisyah.

Beliau berkata, jika sebelum ini  arwah isterinya, Nor Lina Jais, 45, yang juga suri rumah sepenuh masa mengurus sepenuhnya anak istimewa mereka.

Mengakui,  dia mudah berasa panik dan khuatir anaknya yang pernah menjalani pembedahan jantung dan injap seringkali diserang sawan.

Selain itu, tubuh puteri bungsunya itu juga mudah lemah sekiranya terdedah kepada cahaya matahari.

“Ketika arwah masih ada, pernah beberapa kali Aisyah diserang sawan dan tubuhnya mengeras sebelum dikejarkan ke hospital namun Allah memanjangkan usianya.

“Bila situasi itu berlaku adakala saya jadi panik tetapi lama-lama saya sudah boleh terima dan tahu bagaimanana hadapi masalah itu.

“Alhamdulilah, sejak saya menjaga Aisyah dalam keadaan sihat dan saya tidak pernah ketinggalan untuk membawanya ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan tiga bulan sekali termasuk di Hospital Sultan Ismail dan Hospital Sultanah Aminah.

“Saya juga bersyukur kerana adik arwah kerap menziarahi Aisyah dan memberi saya semangat supaya terus kekal tabah dalam melaksanakan kewajiban menjaganya,” katanya ketika ditemui di rumah beliau di Kulai hari ini.

Tidak cukup dengan itu, bapa tunggal ini juga menghantar anaknya ke sekolah khas di bandar raya Johor Bahru dua hingga tiga kali seminggu bagi tujuan mendapatkan terapi.

Jelas beliau,walaupun kepenatan namun kesihatan Aisyah lebih penting daripada segalanya.

“Saya reda dan yakin kehilangan arwah ada hikmah kerana saya kini lebih rapat dengan Aisyah. Baru-baru ini saya juga membawa Aisyah bagi melawat kubur ibunya di Simpang Renggam,” katanya.

Wahid yang menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersyukur kerana bantuan itu mampu meringankan bebannya dalam membeli keperluan Aisyah termasuk susu khas disyorkan doktor.

Prihatin dengan situasi itu, Pengurus Besar Pasar Raya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam menghulurkan  sumbangan bernilai RM1,200 kepada keluarga Wahid.

Econsave yang terkenal dengan kerja amal di Johor mengharapkan bantuan kecil itu sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban keluarga terlibat.

“Kami berharap keluarga berkenaan tabah dalam menghadapi bdugaan kehilangan ahli keluarga akibat Covid-19.

“Diharap sumbangan berkenaan dapat menampung keperluan mereka selain meringankan beban,” kata Mas Imran.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga Wahid boleh menghulurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan menerusi akaun Maybank milik A. Wahid Hassan di nombor 151101408980.– MalaysiaGazette