'Wajah Aqil berseri, baca doa selit nama Faisal Halim' – Kakak

'Wajah Aqil berseri, baca doa selit nama Faisal Halim' – Kakak

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Selepas pertemuan itu, Aqil sebut nama idolanya dengan wajah berseri.

“Pagi tadi pun (hari ini) sebelum makan, dia baca doa dan selit juga nama Faisal Halim,” kata Aina Sofiya Zamri, 27, kakak kepada remaja Sindrom Down, Aqil Saifullah.

Video gelagat Aqil, 19, yang berpeluang bertemu dan berpelukan dengan tonggak Selangor FC, Faisal Halim sambil melakukan aksi ‘siuu’, kelmarin tular di media sosial selepas dimuat naik Aina di Threads.

Menurut Aina, video itu sememangnya momen bermakna buat keluarga mereka kerana adik istimewanya itu yang terlalu meminati Faisal dan mereka menggunakan kesempatan berada di Stadium Merdeka untuk mempertemukan Aqil dan idolanya.

“Saya sebenarnya tak ada di stadium hari itu, saya di rumah. Yang ada ayah, ibu, abang dan adik lelaki saya.

“Video yang saya muat naik di Threads pun sebenarnya daripada orang lain. Abang saya minta daripada pemilik video sebab saya nak tengok dari sudut lain.

“Saya tak sangka langsung posting itu akan mendapat perhatian ramai. Niat saya cuma nak kumpul video daripada angle berbeza saja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Aina, minat Aqil terhadap Faisal bermula daripada kekagumannya terhadap Cristiano Ronaldo yang terkenal dengan aksi meraikan jaringan gol ‘siuu’.

“Daripada situ dia terjumpa pula video Faisal Halim buat ‘siuu’. Sejak dua tiga tahun kebelakangan ini memang rancak dia minat Faisal. Kalau ada perlawanan Selangor, dia mesti tengok Highlights di YouTube.

“Kalau nampak Faisal di televisyen, dia akan sebut nama itu berulang kali.

“Baju apa Faisal pakai, gaya rambut macam mana, semua dia nak ikut. Kalau Faisal jadi duta produk pun, dia nak beli juga sebab ada Faisal,” katanya.

Aina mengakui pada awalnya keluarga sekadar menganggapnya sebagai minat Aqil sebagai perkara biasa, namun lama-kelamaan mereka sedar ia sesuatu yang benar-benar bermakna buat anak ketiga daripada empat beradik itu.

“Kadang-kadang kami pun rasa ‘sudah-sudah la’ dengar dia sebut Faisal Halim pagi petang siang malam. Bangun tidur sebut, nak makan sebut, nak tidur pun sebut.

“Tapi sekurang-kurangnya dia ada sesuatu yang dia minat, daripada dia main permainan video tanpa henti, kami lebih suka dia minat bola sepak,” katanya.

Menceritakan detik di Stadium Merdeka, Aina berkata, pada mulanya ayahnya, Zamri Saad, 53, membawa Aqil ke Shah Alam untuk melihat sesi latihan Selangor FC, namun dimaklumkan mengenai program Hari Legasi Merah Kuning di ibu kota.

“Ayah fikir ini peluang sebab Aqil tak pernah tengok perlawanan atau pemain secara dekat. Cuma pada awalnya, dia kelihatan sedikit kecewa sebab tak dapat jumpa Faisal secara dekat.

“Dia perlahan-lahan duduk dekat palang besi tepi padang. Ayah bagi isyarat, kalau Faisal datang ke kawasan itu, buat ‘siuu’. Bila Faisal benar-benar datang, Aqil terus buat dan berlari peluk dia,” katanya.

Walaupun kawasan padang bukan untuk orang awam, Aina percaya petugas yang melihat situasi itu memahami keadaan Aqil.

“Abang saya cuba pujuk dia jangan turun padang, nanti orang marah. Tapi dia memang nak juga. Bila nampak Faisal, dia tak fikir apa dah.

“Bukan saja Faisal, dia sempat peluk jurulatih Kim Pan-gon dan beberapa pemain lain. Semua layan dia dengan baik,” katanya.

Menurut Aina, sebaik pulang ke rumah, Aqil terus menyebut nama idolanya dengan wajah berseri.

“Dia sengih, cakap ‘akak, Faisal Halim’. Lepas itu dia diam sekejap macam masih terkejut dan tak percaya,” katanya yang tidak menyangka kisah adiknya menyentuh hati ramai pihak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top