am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Jenazah Manisya Azlin Ishak, 25, seperti tersenyum dan muka berseri akui Nur Syafiqah Zulfaqah, 22, selepas melawat rakannya yang meninggal dunia akibat kemalangan di hadapan Kem 96 Depot Pangkalan Peluru, Masjid Tanah, hari ini.
Nur Syafiqah berkata, arwah yang meninggal pada hari Jumaat yang mulia, bersamaan 1 Syaaban diharap tergolong dalam kematian husnul khatimah.
Katanya, dia tidak menduga sama sekali makan malam bersama arwah dan tiga rakan sekerja mereka yang lain di Bukit Beruang, malam tadi sebagai pertemuan terakhir.
Menurutnya, suasana makan malam berkenaan santai dan mesra malah arwah kelihatan begitu manja dengan salah seorang daripada mereka pada pertemuan terbabit.
“Arwah menikmati roti nan ayam tandoori dan mengakui makanan berkenaan amat enak sekali gus mengucapkan terima kasih kerana membawanya ke restoran berkenaan. Kami juga berseloroh dengannya selepas ini arwah boleh pergi sendirian namun arwah menegaskan ingin bersama jika pergi ke sana semula.
“Kami juga memenuhi semua permintaannya termasuk bergambar dan membuat video untuk media sosial namun tidak menduga ianya adalah yang terakhir kali bersama arwah,” katanya ditemui di Hospital Alor Gajah, hari ini.
Menurutnya, dia antara rakan rapat yang sering makan bersama ketika waktu rehat dan sahabat baik yang sukar dicari ganti.
Sementara itu, rakannya, Flora Sunggau Anak Janting pula berkata, mereka keluar bersama selepas tamat bekerj, 10 malam semalam dengan arwah menaiki kereta sendiri dan mereka bertiga dengan dua kenderaan berlainan.
Katanya, mereka meraikan keceriaan makan malam bersama kerana mereka satu shift tambahan hari ini mereka semua bercuti namun tidak menduga kehilangannya selepas kira-kira 6 bulan bekerja bersama-sama.
Katanya, mereka hanya mengetahui kematiannya selepas dimaklumkan pejabat mereka awal pagi tadi menyebabkan kesemua mereka terkejut lalu bergegas ke Hospital Alor Gajah.
Dalam kemalangan berkenaan, Proton Saga dipandu arwah bertembung dengan trak tentera.
Jenazah Manisya dibawa ke Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara untuk dikebumikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




