am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: “Arwah berubah sikap, Saya dapat tahu dia sudah tiada pada Jumaat lalu dan kali terakhir kami bertemu tiga hari sebelum kejadian dan perasan wajahnya kelihatan pucat.
”Kelakuannya juga berbeza kerana dia lebih banyak berdiam diri, sedangkan sebelum ini seorang yang ceria,” kata Muhamad Alif Ikhwan Nor Affendi Sham, 18, rakan Allahyarham Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar,19.
Dia yang mengenali arwah sejak lima tahun lalu tidak menyangka perubahan sikap rakannya itu adalah petanda awal pemergiannya.
”Ahmad Azreeq seorang yang baik dan mudah membantu rakan ketika dalam kesusahan dan tidak pernah berkira.
“Motosikal kami sama dan pernah merancang untuk menunggang bersama-sama namun hasrat itu tidak kesampaian. Saya juga tidak boleh lupa kenangan kami pergi ke Tasik Kenyir bersama-sama sebelum ini,” katanya ditemui selepas upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara, di sini, jam 2.50 petang, hari ini.
Seorang lagi rakan arwah, Mohamad Syakir Firdaus, 19, berkata, dia mengenali arwah sejak di bangku sekolah rendah sebelum meneruskan persahabatan ketika sama-sama bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir, Kuala Nerus.
Katanya, arwah seorang yang sangat baik dan sering bertanya khabar rakan selain ‘ringan tulang’ dengan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.
”Saya nampak kawan-kawan kongsi di status WhatsApp arwah hilang. Saya memang terkejut juga.
”Kami doakan arwah semoga rohnya ditempatkan bersama kalangan para solihin,” katanya.
Ahmad Azreeq Zafreen hilang ketika dalam perjalanan ke Cameron Highland, Pahang sebelum mayatnya ditemui bersama motosikalnya di dalam semak di Kampung Bukit Jeruk, Besut, petang Ahad lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




