am@hmetro.com.my
Sejak pendedahan Harian Metro mengenai salah laku seksual antara bentuk penderaan dilakukan sebuah rumah kebajikan bernaung di bawah Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) minggu lalu, beberapa siri serbuan dan tangkapan dijalankan pihak berkuasa.
Paling mengejutkan, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara satu hingga 17 tahun ditahan selepas dipercayai menjadi mangsa eksploitasi di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan.
Sehingga semalam, operasi polis dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk pihak berkuasa agama terus dijalankan, manakala beberapa negeri tampil mengeluarkan fatwa mengenai isu yang didedahkan sejak lebih seminggu lalu itu.
SKUAD KHAS METRO AHAD mendapatkan Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM) PROF DR MOHD ROSLAN MOHD NOR untuk mengulas isu nasional ini untuk Kafe Ahad minggu ini.
Bagaimana PUM melihat isu GISBH ketika ini?
Siasatan perlu diteruskan. Jika terdapat kesalahan, ambil tindakan berdasarkan undang-undang, akta atau enakmen yang ada. Isu ini isu yang besar dan PUM mengalu-alukan tindakan pihak berkuasa melakukan siasatan dan mengambil tindakan terhadap GISBH.
Sampai masanya semua pihak berpadu tenaga dan usaha dalam menangani isu ini yang jelas bercanggah dengan Islam.
Kita tidak boleh berkompromi dengan sebarang tindakan yang menyebabkan fitnah kepada Islam.
Ada yang mempertikai tindakan pihak berkuasa menyerbu rumah amal dan premis GISBH kononnya memalukan agama. Boleh komen?
Kita berpandangan, jika didapati terdapat amalan yang tidak bertepatan dengan syariat, pihak berkuasa boleh terus buat serbuan dan tangkapan. Tidak ada istilah cuba menjatuhkan sesiapa.
Tindakan segera seperti ini adalah jalan terbaik bagi mengelakkan lebih banyak perkara buruk berlaku. Ia sesuai dengan kaedah Islam, iaitu mencegah sebelum ia menjadi lebih buruk.
Beberapa pendakwah tidak menolak kemungkinan GISBH akan diharamkan seperti al-Arqam dan Rufaqa’ sebelum ini. Apa pandangan PUM?
Ya, setuju. Sekiranya didapati cuba menghidupkan kembali ajaran yang difatwakan menyeleweng, maka ada kewajaran pergerakan itu diharamkan.
Pihak berwajib perlu pastikan ahli-ahli mereka dapat diberi pembelaan, dibantu urusan khususnya bagi mereka yang ingin mencari ruang baru dalam kehidupan.
Sesuatu yang mulia jika kita memastikan kebajikan mereka ini terbela dengan bantuan-bantuan yang diberikan agar mereka boleh memulakan kehidupan baru berlandaskan syariat Islam.
Isu GISBH ini dilihat menjentik hati umat Islam, apakah ia akan memberi kesan kepada usaha dakwah yang dilakukan semua pihak ketika ini?
Secara umumnya, ia akan memberi kesan secara langsung kepada pendakwah. Bukan saja usaha dakwah ini mendapat sokongan malah ia juga menunjukkan ruang dakwah masih terbuka luas.
Kita juga ingin menasihatkan masyarakat awam jangan terlalu cepat menghukum, biarkan pihak berkuasa yang menjalankan tugas termasuk siasatan sebelum membuat keputusan.
Nasihat PUM kepada orang ramai khususnya umat Islam dalam mendepani isu seperti ini?
Kepada umat Islam, mesti berhati-hati dengan apa juga kumpulan dan amalan yang ingin diamalkan. Kita tahu banyak doktrin palsu yang disebarkan di dalam negara kita dan jika tidak ada pengawalan ia akan menjadi lebih parah.
Semoga dengan tindakan berhati-hati itu akan menyelamatkan mereka daripada terjerumus dalam amalan yang tidak menepati syariat.
Ada pihak menyalahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) lambat bertindak dalam isu ini, sedangkan punca kuasa berada di pihak lain. Apa pandangan PUM?
Dalam hal ini, PUM berpendirian adalah tidak wajar dan tidak bijak untuk mengkritik serta menyalahkan Jakim dalam isu GISBH ini.
Sebagai pihak yang menyelaras hal ehwal agama, Jakim banyak terbabit dalam usaha-usaha bagi memastikan GISBH ini tidak melanggar sebarang bentuk peraturan dan undang-undang yang ada dalam negara.
Sudah tentu Jakim perlu bertindak dengan agensi-agensi lain mengikut fungsinya, terutama agensi yang diberikan kuasa penguatkuasaan.
Sehubungan dengan itu, PUM sangat tidak bersetuju untuk menyalahkan mahupun meremehkan usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak Jakim dalam menangani isu GISBH itu. Tindakan mengkritik usaha yang dilakukan oleh Jakim hanya akan mengeruhkan suasana dan tidak sedikit pun membantu dalam menangani isu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




