khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan hukuman rotan di sekolah harus dikembalikan namun dengan syarat ketat bagi menangani isu disiplin membabitkan pelajar.
Perdana Menteri berkata, ramai pendidik dan ibu bapa berasakan hukuman rotan itu mempunyai keperluan dengan ia ditugaskan kepada guru tertentu, selain dilaksanakan di bilik khas, bilik disiplin serta jumlah rotan yang dikenakan.
“Saya pernah menjadi guru dan saya ingat puluhan anak-anak (murid) saya dah rotan… tapi di tangan.
“Tapi ada juga pandangan umpamanya daripada kumpulan hak asasi yang berasakan ini termasuk dalam kategori penderaan anak-anak. Jadi saya faham kontroversi itu,” katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai cadangan guru di sekolah diberikan budi bicara untuk mengenakan hukuman rotan kepada pelajar bagi menangani isu disiplin di sekolah.
Mengulas lanjut, Anwar turut mengingatkan kepada ibu bapa agar tidak terlalu bimbang mengenai perkara berkenaan.
“Kerana kenakalan anak-anak ni satu perkara yang biasa. Tapi apabila dia langgar peraturan yang agak berlebihan, tentunya harus ada hukuman. Tapi ini sekadar pandangan, bukan dasar kerajaan.
“Saya percaya (perkara ini) harus dipertimbangkan, diperhalusi dan dilakukan libat urus dengan semua pihak yang akan dikendalikan oleh Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) sebelum kita muktamadkan.
“Saya hanya beri pandangan peribadi kerana saya fikir bukanlah dia (hukuman rotan) masuk kategori penderaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



