saufi@mediaprima.com.my
MUNGKIN bagi sesetengah orang, meletakkan tanaman di dalam atau di luar rumah akan menambah ‘tangki oksigen’ kawasan berkenaan selain memberi keindahan kepada persekitaran rumah dengan tona hijau semula jadi.
Hakikatnya, tidak semua tumbuhan sesuai dijadikan hiasan atau dekorasi kediaman kerana ada yang boleh mengundang bahaya kepada penghuni terutama kanak-kanak kecil dan haiwan peliharaan.
Menambah dekorasi hijau sama ada di halaman atau di dalam rumah memang meningkatkan keceriaan susulan warna yang menyegarkan, namun jika salah memilih pokok, ia mungkin merisikokan kesihatan penghuni itu sendiri.
Ketua Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Christopher Teh Boon Sung berkata, pokok untuk dalam rumah perlu dipilih berdasarkan cahaya yang ada, keselamatan penghuni dan saiz pokok apabila matang.
Menurutnya, beberapa pasu di ruang tamu tidak menambah oksigen rumah dengan ketara.
Katanya, ramai tidak sedar sebahagian pokok hiasan paling popular di Malaysia mengandungi bahan beracun.
“Antaranya Dieffenbachia, keladi hias, keladi birah, sirih gading, peace lily, pokok ZZ, Aglaonema dan Philodendron yang beracun ringan hingga sederhana.
“Pokok berkenaan masih boleh disimpan di rumah tanpa anak kecil atau haiwan peliharaan, asalkan jauh daripada capaian.
“Pokok bergetah seperti mahkota duri, pokok pensil dan adenium pula perlu dikendalikan berhati-hati kerana susunya merengsakan kulit dan mata,” katanya.
Katanya, pokok yang racunnya lebih berbahaya dan sesuai ditanam di luar rumah, jauh daripada kanak-kanak ialah oleander (Nerium oleander), jarak pagar (Jatropha curcas), jarak (Ricinus communis), kecubung (Datura metel) dan bunga tahi ayam (Lantana camara).
Menurutnya, pemilik haiwan peliharaan pula perlu berwaspada dengan bunga lili (Lilium) yang sangat berbahaya kepada kucing, sikas (Cycas) yang berbahaya kepada anjing, serta Kalanchoe dan lidah buaya (Aloe vera).
“Selain itu, pokok keladi, sirih gading, peace lily, pokok ZZ dan Dieffenbachia mengandungi hablur kalsium oksalat berbentuk jarum halus yang mengakibatkan rasa pedih dan terbakar dalam mulut, bibir dan lidah membengkak serta mangsa sukar menelan.
“Oleander dan Adenium pula mengandungi glikosida jantung pada semua bahagian pokok, mengakibatkan mangsa loya, muntah dan degupan jantung perlahan atau tidak sekata, malah kes teruk boleh membawa maut.
“Biji pokok jarak pagar boleh mengakibatkan muntah, cirit-birit dan kekurangan air badan dan kes keracunan pelajar sekolah pernah dilaporkan di negara ini,” katanya.
Christopher berkata, jika berlaku keracunan, mulut mangsa dibilas dengan air tanpa dipaksa muntah, kulit yang terkena getah dibasuh dengan sabun dan air, manakala mata dibilas dengan air paip mengalir selama 15 minit.
“Bawa sampel pokok ke klinik, hubungi Pusat Racun Negara dan segera ke jabatan kecemasan atau dail 999.
“Orang ramai dinasihatkan mengenal pasti nama saintifik pokok sebelum membelinya kerana pokok di nurseri sering dijual dengan nama pasaran sahaja.
“Keluarga yang mempunyai anak kecil atau haiwan peliharaan boleh memilih pokok lebih selamat seperti pokok labah-labah, paku Boston, Calathea, Peperomia, Fittonia dan palma Chamaedorea,” katanya.
Beliau turut mengingatkan nyamuk Aedes boleh membiak dalam air sedalam satu hingga dua milimeter, justeru piring pasu perlu dikosongkan selepas menyiram.
Untuk rekod, kajian Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) pada 1989 yang sering dipetik dijalankan dalam kebuk kecil yang tertutup, manakala kajian semula pada 2019 mendapati 10 hingga 1,000 pokok bagi setiap meter persegi lantai diperlukan untuk menyamai kesan pengudaraan biasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




