TATKALA mahu membeli atau menerima preskripsi ubat daripada pakar perubatan, jarang sekali kita mahu bertanyakan tentang status halalnya dan hanya menerimanya bulat-bulat.
Begitu juga ketika ingin mendapatkan suplemen untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan diri.
Barangkali kerana tidak tahu atau kurang kesedaran hinggakan tidak terfikir untuk bertanya tentang status halal pada produk ubat-ubatan dan suplemen.
Apatah lagi ia berkait secara langsung dengan kesihatan. Asalkan ia boleh merawat atau mengurangkan kesakitan ditanggung, semua âdisapuâ tanpa berfikir panjang.
Mengapa penting untuk kita dapatkan ubat-ubatan dan suplemen halal?
Kesedaran rendah
Sinar Islam Plus mendapatkan Ketua Hal Ehwal Halal dan Perhubungan Kerajaan Pharmaniaga Manufacturing Berhad, Ustaz Muhammad Hafif Hanaffi bagi mengupas lanjut tentang topik itu.
USTAZ MUHAMMAD HAFIF
Menurut perspektifnya, kesedaran masyarakat untuk mendapatkan ubat-ubatan halal sudah ada, tetapi belum lagi mencapai tahap sepatutnya.
âIa tidak seperti apabila kita mahu mendapatkan makanan atau minuman, pasti akan cari yang halal.
âMeskipun tiada kajian lanjut tentangnya, tetapi banyak faktor dalam mendapatkan ubat-ubatan, orang tidak mengamalkan (tindakan) seperti itu.
âAntaranya disebabkan dia hanya memikirkan untuk sembuh daripada sakit, tidak kisah soal halal atau haram dan satu lagi mereka tidak perasan label yang tertera pada pembungkusan ubat-ubatan mahupun suplemen yang mahu dibeli,â katanya ketika ditemui di Bangi, Selangor baru-baru ini.
Hakikatnya, sebagai umat Islam, wajib untuk kita mencari yang halal bukan sahaja dalam soal makanan, tetapi juga ubat-ubatan dan suplemen.
PENTING untuk kita mendapatkan produk farmaseutikal seperti ubat-ubatan dan suplemen halal kerana ia telah diuji dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanannya serta boleh dimakan atau digunakan dengan tenang. -Foto: IHSAN PHARMANIAGA BERHAD
Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: âSesungguhnya ALLAH telah menurunkan penyakit dan ubat dan menjadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan benda yang haram.â (Hadis Riwayat Abu Daud)
Melihat ungkapan nas itu, ujar Ustaz Muhammad Hafif, ia jelas menggambarkan bahawa Islam menyuruh umatnya untuk mencari ubat-ubatan halal.
âDalam tuntutan agama, Rasulullah SAW menyuruh kita untuk memelihara lima prinsip syariah termasuk menjaga nyawa.
âJika sakit, carilah penawar dengan mendapatkan ubat halal. Yang ada persijilan halal itu lagi baik kerana ia membawa ketenangan jiwa,â ungkapnya.
Meskipun demikian, dalam keadaan tertentu seperti darurat, tiada ubat-ubatan halal atau alternatif lain, Ustaz Muhammad Hafif menjelaskan, maqasid syariah kita dalam prinsip menjaga nyawa memberi kelonggaran untuk menggunakan penawar yang pada asalnya dilarang.
âItu pun hanya sekadarnya demi meneruskan kehidupan,â terangnya.
SEMAK logo halal atau bertanyakan terus kepada ahli farmasi mahupun doktor tentang status halal ubat-ubatan yang perlu diambil. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Kelebihan farmaseutikal halal
Menyambung hujah, beliau kemudian menerangkan perbezaan antara ubat yang mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan sebaliknya.
Dari satu sudut, jelas beliau, produk farmaseutikal yang diiktiraf halal itu terjamin dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanannya memandangkan ia berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia.
âKetiga-tiga elemen tadi iaitu kualiti, keselamatan dan keberkesanan sudah terjamin dari segi tayyiban (baik), ditambah pula dengan pensijilan halal. Tiada unsur keraguan untuk umat Islam makan atau gunakannya dengan tenang.
âCuma suka saya ingatkan, logo halal hanya boleh diletakkan pada pembungkusan produk farmaseutikal yang tidak mengandungi racun terkawal sahaja, tetapi ubat yang mengandungi racun terkawal pula tidak boleh berbuat demikian walaupun memiliki SPHM,â katanya sambil menjelaskan ia merupakan garis panduan yang termaktub oleh NPRA.
DALAM penghasilan farmaseutikal halal, ia bermula dari proses bahan mentah sebelum masuk ke peringkat kajian dan pembanguna yang mana semuanya perlu dipastikan halal supaya ia tidak bermasalah hinggakan terpaksa mengulang semula proses itu dari awal. -Foto: IHSAN PHARMANIAGA BERHAD
Sepanjang sembilan tahun menjadi sebahagian âkeluargaâ Pharmaniaga Manufacturing Berhad yang mengeluarkan 186 produk farmaseutikal halal diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), jelas Ustaz Muhammad Hafif, antara isu kritikal adalah berkaitan dengan status halal bahan mentah yang digunakan.
Mengambil contoh, ubat-ubatan dalam bentuk kapsul yang menggunakan gelatin dari sumber haiwan.
âWalaupun ia mungkin gelatin bovine (berasal dari lembu), kita perlu lakukan saringan ketat dan pastikan ia halal, disembelih dengan cara Islam serta ada sijil halal daripada Jakim atau sijil halal luar negara yang diiktiraf Jakim, kemudian lihat dari segi kualiti, keselamatan dan segala prosedur dalam penghasilannya.
âMudah kata, dari proses bahan mentah sebelum ke peringkat kajian dan pembangunan sudah dipastikan kesemuanya halal agar ia tidak bermasalah hingga terpaksa mengulang semula proses itu dari awal,â katanya sambil menjelaskan kaedah pengawalan bahan mentah yang dilaksanakan di syarikat itu sejak mula mendapatkan sijil halal pertamanya pada 2014, didorong rasa tanggungjawab fardu kifayah dalam menawarkan produk farmaseutikal halal.
WARGA kerja Pharmaniaga Berhad menjadi tulang belakang untuk melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah dalam menawarkan produk farmaseutikal halal kepada orang ramai. -Foto: IHSAN PHARMANIAGA BERHAD
Sebelum mengakhiri bicaranya, Ustaz Muhammad Hafif mengingatkan umat Islam agar menuruti tuntutan agama ketika berubat dengan mencari yang halal.
Jika tidak tahu, katanya, bertanyalah kepada mereka yang pakar dalam bidang tersebut seperti doktor dan ahli farmasi.
âBagi pihak industri, jangan takut untuk memohon pensijilan halal untuk produk farmaseutikal kerana banyak manfaatnya kepada seluruh masyarakat,â titipnya.