Wajib Ke Waris Bayar Hutang Cukai LHDN Si Mati? Ini Jawapan Jawatankuasa Muzakarah | Oh! Islam – Oh! Media

Wajib Ke Waris Bayar Hutang Cukai LHDN Si Mati? Ini Jawapan Jawatankuasa Muzakarah | Oh! Islam – Oh! Media

Isu sama ada waris perlu membayar tunggakan cukai pendapatan individu yang sudah meninggal dunia bukanlah perkara baharu. Ia pernah mencetuskan perdebatan panjang dalam kalangan ulama dan mufti kerana melibatkan tafsiran hukum syarak serta kedudukan cukai dalam Islam.

Namun, persoalan itu akhirnya terjawab apabila Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan bahawa bayaran tunggakan cukai pendapatan si mati adalah wajib, menggunakan harta peninggalan si mati sebelum pembahagian faraid dilakukan.

Mufti anggap hutang wajib diselesaikan

Menerusi laporan daripada Berita Harian, sebelum keputusan muktamad dibuat, sebenarnya sebahagian mufti berpandangan bahawa tunggakan cukai pendapatan si mati termasuk dalam kategori hutang yang perlu diselesaikan oleh waris.

Mufti Pulau Pinang ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata bahawa harus membayar tunggakan cukai tersebut dengan merujuk hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi.

“Roh atau jiwa orang beriman itu tergantung dengan hutangnya sehinggalah dibayar atau dilunaskan.”

Pandangan sama turut dikongsi oleh bekas Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad yang menjelaskan bahawa segala hutang piutang individu yang sudah meninggal dunia wajib diselesaikan terlebih dahulu sebelum baki harta difaraidkan kepada waris.

“Hutang dengan sesiapa pun, malah agensi kerajaan, tetap satu hutang yang perlu kita selesaikan. Contohnya hutang dengan PTPTN, wajib selesaikan.”

Ada juga mufti yang berbeza pandangan

Bagaimanapun, tidak semua mufti bersetuju dengan pandangan tersebut. Mufti Pahang ketika itu, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berpandangan bahawa cukai pendapatan bukan tuntutan syarak kerana ia tidak disyariatkan dalam Islam.

“Dalam masalah ini, ia bukan masalah agama, tidak ada syarak. Maksudnya, bukan disyariatkan dalam Islam mengenakan cukai ini. Islam wajibkan zakat, itu bezanya. Siapa tak bayar zakat, waris wajib bayarkan, tapi cukai ini tidak dikenakan dalam syarak.”

Menurut pandangan tersebut, waris tidak wajib membayar cukai tertunggak si mati kerana ia hanyalah tuntutan kerajaan dan bukan kewajipan agama.

Undang-undang negara tetap mengikat si mati

Dari sudut perundangan pula, Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967 menetapkan bahawa sebarang tunggakan cukai pendapatan tidak boleh dihapuskan secara automatik, walaupun individu terbabit disahkan telah meninggal dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) ketika itu, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata bahawa surat rasmi akan dihantar kepada wakil sah atau pentadbir harta pusaka si mati bagi menuntut mereka melunaskan tunggakan cukai pendapatan berkenaan.

Menurut beliau, LHDN masih perlu mencari wakil sah atau pentadbir pusaka sekiranya pembayar cukai terbabit meninggalkan harta, kerana tunggakan hasil tidak boleh dibiarkan tanpa penyelesaian.

Keputusan muktamad jawatankuasa muzakarah

Susulan polemik dan perbezaan pandangan itu, Jawatankuasa Muzakarah MKI telah menjalankan kajian syarak serta mendapatkan pandangan pemegang taruh berkaitan isu tersebut.

Akhirnya, dalam mesyuarat ke-122 pada Oktober 2023, Muzakarah MKI memutuskan bahawa tunggakan cukai pendapatan si mati adalah hutang yang wajib diselesaikan menggunakan harta peninggalan si mati, selari dengan prinsip Islam yang mewajibkan penyelesaian hutang sebelum pembahagian pusaka.

Keputusan itu sekali gus menyelaraskan perbezaan pandangan dan menjadi rujukan rasmi umat Islam di Malaysia berkaitan isu tunggakan cukai pendapatan individu yang telah meninggal dunia.

Pssttt! Sebelum harta pusaka diagihkan, waris disarankan menyemak sama ada si mati mempunyai hutang cukai. Perkara ini bukan sahaja memudahkan urusan pusaka, malah membantu waris mengelakkan masalah undang-undang dan kekeliruan di kemudian hari.

Kredit: Berita Harian
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.

** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.

author avatar

Farhan adalah perancang strategik untuk tim Oh! Media yang gemar menulis segmen politik dan tidak ketinggalan meneroka isu-isu semasa. Dengan kepakaran dan minat mendalam, Farhan memastikan setiap penulisannya memberikan perspektif yang bernas dan menarik.

Scroll to Top