Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan umat Islam wajib keluar mengundi kerana ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab politik dalam Islam bagi memastikan kepimpinan negara berada di tangan pihak yang mampu menegakkan amanah, keadilan dan syariat.
Menerusi tulisan Minda Presiden PAS bertajuk “Wajib Keluar Mengundi”, beliau menjelaskan kewajipan itu berasaskan pandangan bahawa politik dan pemerintahan tidak boleh dipisahkan daripada agama, selain menyifatkan memilih pemimpin sebagai sebahagian daripada tuntutan syarak.
“Keluar mengundi dalam amalan demokrasi adalah menunaikan kewajipan memilih pemimpin di tempat masing-masing.
“Para ulama’ menegaskan, ‘Apa-apa yang tidak dapat disempurnakan yang wajib melainkan dengannya, maka hukumnya wajib’,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, umat Islam tidak seharusnya memandang ringan proses pilihan raya atau menganggap politik sebagai urusan yang terpisah daripada agama kerana pemerintahan memainkan peranan penting dalam melaksanakan hukum serta menjaga kepentingan masyarakat.
Foto: FB Abdul Hadi Awang
Menurutnya, kegagalan menunaikan tanggungjawab mengundi boleh menyebabkan umat Islam kehilangan kuasa politik, sekali gus membuka ruang kepada pihak yang tidak mempertahankan kepentingan agama dan umat untuk memimpin negara.
“Kini, ramai yang tidak keluar mengundi atau menjual undi sehingga kuasa Islam dirampas. Ada yang berebut jawatan sehingga berpecah-belah yang membawa kelemahan, lalu dijajah oleh musuh,” ujarnya.
Abdul Hadi turut menegaskan bahawa kewajipan memilih pemimpin menjadi lebih penting apabila wujud risiko kepimpinan negara jatuh kepada pihak yang menurutnya tidak mempertahankan agama atau mengkhianati kepentingan umat Islam.
Beliau berkata, pengundian juga merupakan mekanisme bagi menghantar wakil yang mampu melaksanakan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar serta memastikan pentadbiran negara dipimpin secara adil berlandaskan nilai Islam.
“Mengundi juga bertujuan menghantar wakil bagi menjalankan kewajipan amar makruf dan nahi mungkar,” kata Abdul Hadi.
Dalam pada itu, beliau menolak pandangan yang memisahkan politik daripada agama dengan menyifatkannya sebagai fahaman sekular yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Beliau berkata, Islam mewajibkan pemimpin berlaku adil kepada seluruh rakyat tanpa mengira agama dan kaum, namun menegaskan kepimpinan tertinggi negara wajar diterajui oleh orang Islam yang berpegang kepada ajaran agama.
“Melayu Islam wajib bersatu memilih pemimpin Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem serta wajib menolak kalangan bukan Islam yang ekstrem menentang Islam serta merancang menguasai negara bergabung dengan Melayu yang liberal dan tidak cinta akan agama dan bangsanya sendiri,” ujarnya.
Sumber: Facebook Abdul Hadi Awang




