Wajibkan CEO GLC, GLIC isytihar harta untuk tingkat akauntabiliti

Wajibkan CEO GLC, GLIC isytihar harta untuk tingkat akauntabiliti

mhafis@mediprima.com.my

Putrajaya: Langkah kerajaan mewajibkan ketua pegawai eksekutif (CEO) di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah langkah pencegahan bagi meningkatkan akauntabiliti masing-masing.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, menerusi pengisytiharan harta, masyarakat dapat menilai bahawa setiap ketua organisasi tidak akan sewenang-wenangnya meningkatkan kekayaan menerusi kedudukan mereka.

“Apabila semua CEO ini mengisytiharkan harta kepada SPRM, mereka lebih berhati-hati dalam tindakan kerana sebarang usaha untuk menggunakan kedudukan bagi mengumpul kekayaan akan mudah dikenal pasti,” katanya selepas menerima sebanyak 13 Borang Perisytiharan Harta CEO dan Ketua Syarikat Operasi syarikat-syarikat di bawah Kumpulan Boustead Holdings Berhad (BHB) di pejabatnya di sini, hari ini.

Penyerahan borang itu dibuat oleh Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Jabatan Integriti dan Governans BHB, Rosman Johar Abdullah.

Sementara itu, Rosman berkata, penyerahan borang perisytiharan harta adalah selaras dengan arahan kerajaan yang mewajibkan CEO di GLC dan GLIC untuk mengisytiharkan harta kepada SPRM.

Katanya, tindakan kerajaan ini perlu disokong semua pihak bagi memastikan amalan rasuah bukan sahaja mesti dibanteras, bahkan perlu dicegah daripada awal sebelum ia berlaku.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top