am@hmetro.com.my
Kuala Pilah: Seorang lelaki warga emas membuktikan cinta kepada pasangannya dengan mewakafkan harta peninggalan Allahyarham isterinya bernilai lebih RM60,000 kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Mansor @ Razali Zamzam, 63, berkata, isterinya, Rohaya Abd Hassan meninggal dunia pada 29 Oktober lalu dan dia mewakafkan harta itu seminggu kemudian.
Razali berkata, isterinya menghadiahkan barang kemas dan wang kepadanya sebagai tanda penghargaan Razali menjaganya sepanjang lebih dua tahun menghidap kanser.
Bagaimanapun, peniaga air soya itu memilih untuk menginfakkan harta itu kepada golongan memerlukan sebagai jariah berpanjangan kepada Allahyarham melalui serahan kepada Baitulmal MAINS.
“Ketika sakit, arwah tanya mengenai barang kemasnya. Jadi, saya tunjukkan dan dia kata mahu bagi kepada saya sebab saya jaga dia selama ini.
“Saya beritahu saya tak nak dan tanya sama ada boleh kalau diinfakkan semua emas dan wang itu.
“Dia bersetuju dan itu perjanjian saya dengan dia. Apabila dia sudah tiada, saya kena tunaikan,” katanya ketika dihubungi.
Mansor menyampaikan wakaf bernilai RM60,380 hasil penjualan emas dan wang peninggalan Allahyarham di Pejabat MAINS Kuala Pilah, di sini, kelmarin.
Ditanya mengenai barah dihidapi isterinya, Mansor berkata, wanita itu disahkan menghidap kanser ovari pada 2018 sebelum penyakit itu merebak ke buah pinggang.
Mansor yang tidak mempunyai anak berkata, dia mengambil keputusan mewakafkan harta peninggalan itu kerana bimbang harta yang ditinggalkan disalah guna.
“Saya hanya jaga seorang anak angkat. Tiada guna juga ada duit banyak kerana sebelum ini pun saya bekerja kerana isteri, apabila dia tiada cukup sekadar apa yang ada.
“Takut juga apabila pegang banyak duit termasuk terfikir untuk cari teman baharu. Jadi, lebih baik saya selesaikan segera.
“Saya bersyukur kerana Allah gerakkan hati saya sebelum terlewat,” katanya.
Katanya, dengan perkongsian kisah itu diharapkan memberi inspirasi dan iktibar kepada masyarakat dan bukannya mahu menunjuk kekayaan yang dimiliki.
“Selepas wakafkannya, saya lega dan tenang kerana sudah menunaikan amanah isteri. Ini adalah bukti cinta dan kasih sayang kami selepas 36 tahun menjadi suami isteri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




