Wakil belia FELDA dalam Ahli Lembaga Pengarah FELDA

Wakil belia FELDA dalam Ahli Lembaga Pengarah FELDA

suzalina@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melantik wakil belia FELDA dalam Ahli Lembaga Pengarah FELDA bagi mengiktiraf golongan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelantikan itu bagi membolehkan belia FELDA dapat sama-sama bangunkan negara.

“Gunakan platform ini untuk menjadi rakan pembina negara serta mampu berperanan sebagai pertubuhan belia yang memiliki model kemandiriannya sendiri seperti yang dicita-citakan dalam Dasar Belia Malaysia.

“Pertubuhan belia boleh berdiri sendiri tanpa bergantung kepada kerajaan,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Generasi FELDA dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ismail Sabri meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM); RM200,000 untuk Pertubuhan Kami Anak FELDA (KAF) dan RM100,000 untuk Permuafakatan Siswa Siswi FELDA (PERSADA).

Beliau turut mengumumkan jawatan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Pengerusi FELDA disambung untuk tempoh dua tahun lagi.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, pihaknya berharap pelaksanaan Program Pembangunan Peneroka (PPP) dapat dipercepatkan lagi kerana ia bukan sahaja akan menjana pendapatan tambahan kepada peneroka, malah mewujudkan peluang pekerjaan kepada warga FELDA.

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM1 bilion perlu digunakan dengan sebaiknya bagi membolehkan warga FELDA terbabit di sepanjang rantaian nilai pengeluaran.

“Ini akan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

“Sebagai contoh, projek tanaman nanas MD2 di FELDA Besout perlu diperluaskan bukan sahaja di peringkat tanaman, malah turut diwujudkan industri hiliran seperti pengetinan, jus minuman dan snek yang akan memberikan nilai tambah tinggi di pasaran termasuk untuk

eksport,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan prihatin dan sentiasa mendengar dua perkara utama yang dihadapi oleh golongan muda di kawasan tanah rancangan itu iaitu perumahan dan peluang pekerjaan di kawasan FELDA.

Atas dasar itu, katanya, kerajaan melalui pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Bajet 2022 sebelum ini memperkenalkan model pembangunan perumahan berasaskan konsep bina sendiri bagi membolehkan golongan muda memiliki rumah di kawasan FELDA dan mengumumkan skim jaminan kredit perumahan dengan dana RM2 bilion untuk membantu generasi kedua yang tidak ada slip gaji tetapi boleh buat pinjaman dan dijamin kerajaan.

Perdana Menteri berkata, projek perumahan generasi baharu FELDA menjadi aspek penting dalam meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti FELDA keseluruhannya.

“Beberapa kawasan FELDA di negeri Johor sudah mula melaksanakan program ini dengan kerjasama persatuan belia FELDA di kawasan berkenaan dan berharap pelaksanaannya dapat diperluaskan dengan segera di kawasan FELDA lain seluruh negara.

“Isu perumahan ini bukan soal tanah, tetapi soal pembiayaan. Bajet perumahan bagi FELDA, rumahnya tidak terjual disebabkan oleh masalah pembiayaan.

“Generasi kedua yang bekerja di FELDA tidak mampu dapat pembiayaan dari segi kerana tidak mempunyai slip gaji di mana rumah dirancang tidak berjaya maka sebab itulah kerajaan memperkenalkan konsep baru iaitu generasi boleh bina rumah sendiri di lot yang ada, murah dan boleh dimiliki,” katanya.

Beliau berkata, tujuan kerajaan membina perumahan untuk memastikan belia, generasi muda di rancangan tanah itu mempunyai rumah sendiri daripada terus tinggal di kediaman ibu bapa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top