“Waktu Dengar Demo Saya Tahu Rakan Duet Tak Boleh Sembarangan ” – Nabila Razali Pilih Nabil Ahmad Kolaborasi Lagu ‘Tak Sabar Nak Raya’

“Waktu Dengar Demo Saya Tahu Rakan Duet Tak Boleh Sembarangan ” – Nabila Razali Pilih Nabil Ahmad Kolaborasi Lagu ‘Tak Sabar Nak Raya’

Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali mengakui keputusannya memilih pelawak dan pengacara terkenal, Nabil Ahmad untuk berkolaborasi menerusi lagu raya terbaharunya berjudul, Tak Sabar Nak Raya dibuat secara teliti.

Kata Nabila atau lebih mesra dengan panggilan Bella, sebaik sahaja dia mendengar demo lagu berkenaan, dia dapat merasakan rakan duetnya haruslah memiliki karakter yang sangat kuat.

“Waktu saya dengar demo tu, saya dah tahu dah tak boleh pilih penyanyi yang sembarangan. Dia perlukan seseorang karakter yang sangat kuat.

“Dan bila kita berbincang dengan pengurus saya, nama Nabil Ahmad terus pop up. Jadi waktu tu kita terus call Nabil dan dia terus setuju walaupun masa tu dia tak dengar demo lagi.

“Saya bersyukur sangat dapat berkolaborasi bersama Nabil,” katanya.

Nabila berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran Lagu Tak Sabar Nak Raya yang berlangsung di Pusat Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Kuala Lumpur, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Nabila menjelaskan lagu rayanya tahun ini adalah kisah prekuel karya terdahulu yang mana ia menceritakan mengenai suasana raya sewaktu dirinya masih belum bergelar isteri, sekali gus melengkapkan naratif raya yang pernah dikongsikan sebelum ini.

“Sebenarnya lagu ini adalah prekuel. Lagu “Raya Mana?” tu dia dah kahwin, dia dah fikir nak balik kampung mana.

“Tapi kali ni sebenarnya kalau kau orang perasan ada sikit scene tu yang dia baru nak kenal,” jelasnya.

Sekadar info, lagu Tak Sabar Nak Raya ini merupakan hasil ciptaan Brendan Lim Seng Meng, Denise Chan Li-Hsia, Foong Le Xin serta Asyraf Nasir, manakala MFMF bertindak sebagai produser dan penyusun muzik.

Para peminat boleh mendengarkan lagu raya Nabila Razali berjudul Tak Sabar Nak Raya di platform digital muzik utama termasuk Spotify, Apple Music dan You Tube Music mulai 27 Februari ini.

Scroll to Top