am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Kalau sihat, saya datang. Kalau berkerusi roda pun, saya tetap hadir.”
Itu tekad Penasihat Kehormat MyCARE, Dr Hafidzi Mohd Noor, 63, yang sanggup hadir ke perhimpunan NAKBA 77 di sini hari ini biarpun dalam keadaan berkerusi roda.
Katanya, kehadirannya adalah manifestasi solidariti terhadap rakyat Palestin yang terus dizalimi sejak lebih 77 tahun lalu.
“Masalah kesihatan saya tak seberapa berbanding penderitaan saudara kita di Gaza yang dibom dan dibunuh setiap hari.
“Mereka kehilangan ibu, bapa, anak-anak… ada yang masih terperangkap di bawah runtuhan. Tapi dunia masih membisu,” katanya.
Menurutnya, sejak 2024, MyCARE menyalurkan kira-kira RM23 juta bantuan kemanusiaan, dengan 80 peratus daripadanya diperuntukkan kepada Palestin, khususnya Gaza.
Hafidzi berkata, genosid ke atas Palestin bukan isu agama semata-mata, sebaliknya satu bentuk kezaliman terhadap seluruh kemanusiaan.
“Zionis bukan saja memusuhi orang Islam, tapi juga rakyat Palestin beragama Kristian, bahkan sesiapa saja yang menentang kezaliman mereka,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia menyokong gerakan boikot secara berterusan sebagai tekanan ekonomi terhadap Israel.
Terdahulu, ribuan peserta menyertai perhimpunan NAKBA 77 yang dianjurkan lebih 20 NGO termasuk MyCARE dan BDS Malaysia. Himpunan bermula di Menara Tabung Haji dan berarak ke Suruhanjaya Tinggi British.
Dunia terus ‘pekak’ dan ‘bisu’ genosid di Gaza
77 tahun NAKBA, ramai serbu jalan Tun Razak
© New Straits Times Press (M) Bhd