hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: “Dua tahun lagi mungkin saya akan kembali menamatkan ekspedisi ke Everest,” kata Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, dari Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Pada Mei 2025, Mohd Fakhrul membuat percubaan mendaki Gunung Everest di Nepal menerusi Program Kesedaran Hati Emas Sinar Harapan: BOMBA De Everest.
Bagaimanapun, dia mengalami masalah kesihatan di Kem 2 pada berketinggian 6,600 meter ketika menghampiri Kem 3, menyebabkannya ekspedisi itu terpaksa dibatalkan.
Mohd Fakhrul berkata, walaupun usaha ke puncak dunia tidak dapat dicapai, namun Program Kesedaran Hati Emas Sinar Harapan: BOMBA De Everest mendapat sokongan korporat yang memberangsangkan untuk mengisi tabung kebajikan.
Katanya, misi berkenaan diteruskan Sherpa, Pasang Chhodar Bhote, 22, yang berjaya membawa bendera JBPM dan penaja ke puncak Everest.
“Detik ini menjadi simbol ketabahan, pengorbanan dan solidariti dalam menjayakan misi kemanusiaan dan kesedaran kesihatan.
“Walaupun saya tidak berjaya ke puncak Everest tetapi bendera JPBM iaitu satu-satunya bendera anggota keselamatan di Malaysia yang berada di puncak gunung itu.
“Malah, bendera penaja juga berada di puncak berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bomba De Everest @ Kesedaran Hati Emas Sinar di Wisma Al Baghdadi, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Program ekspedisi, Dr Padzil Daros, Ketua Pegawai Korporat Al Baghdadi, Mohd Nazree Mohd Yunus dan Pakar Neprologist Hospital Al Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam, Dr Muhammad Iqbal Abdul Hafidz.
Mohd Fakhrul berkata, antara tujuan ekspedisi itu membantu golongan yang memerlukan termasuk pesakit buah pinggang, kebajikan ahli Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pendidikan dalam al-Quran menerusi kutipan sumbangan yang dijalankan.
“Sepanjang kempen ekspedisi ini berlangsung, kami berjaya mengutip lebih RM320,000 dan ia diagihkan kepada Persatuan Kebajikan JBPM, Yayasan Al Baghdadi dan Hospital Al Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.
“Sumbangan yang diterima akan disalurkan sepenuhnya kepada tiga tabung berkenaan yang diuruskan oleh Yayasan Al Baghdadi yang berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bagi memastikan ketelusan dan manfaat resit pengecualian cukai kepada semua penyumbang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




