am@hmetro.com.my
Besut: “Jika diikutkan, abang kurang sihat kerana demam sejak dua (tiga) hari lalu.
“Bagaimanapun, disebabkan tiada imam ganti, abang sanggup menjadi imam pada malam itu,” kata Muhammad Hafiy Mohd Nazri, 15.
Muhammad Hafiy adalah adik kepada Muhammad Hamas Mohd Nazri, 25, yang maut bersama bapanya, Mohd Nazri Mohd Nor, 59, selepas motosikal ditunggang dirempuh kenderaan pacuan empat roda ketika dalam perjalanan ke masjid di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Kampung Padang Landak, di sini, semalam.
Muhammad Hafiy, 15, kemalangan itu berlaku selepas mereka sekeluarga selesai berbuka puasa di sebuah surau di Kampung Padang Luas.
“Saya bersama ibu, Siti Khumairo Shamsudin berusia 58 tahun, ayah serta abang berbuka puasa bersama sebelum balik ke rumah.
“Ayah dan abang pergi dahulu ke masjid dengan menunggang motosikal kerana abang ditugaskan menjadi imam solat Isyak serta terawih,” katanya ditemui di Tanah Perkuburan Islam Padang Luas, di sini.
Menurutnya, dia bersama ibu menaiki kereta turut ke masjid beberapa minit kemudian sebelum mendapati ada kemalangan selain ambulans di lokasi berkenaan.
“Ketika itu, memang kami tidak sangka ayah dan abang yang terbabit dalam kemalangan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, anak ketiga Mohd Nazri, Mohd Abidul Hanan, 27, berkata, kali terakhir dia berjumpa bapanya minggu lalu.
“Waktu itu, ayah nampak sangat gembira kerana seorang daripada adik berjaya melanjutkan pengajian di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin untuk mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Ayah juga lebih mengambil berat serta sering bertanya khabar anak-anak seminggu dua ini,” katanya.
Menurutnya, Muhammad Hamas ialah anak keempat daripada sembilan beradik dan sebelum ini melanjutkan pengajian di Mesir.
Muhammad Hamas juga baru pulang ke tanah air, akhir tahun lalu.
“Muhammad Hamas baru seminggu lebih bertugas sebagai guru agama di Sekolah Rendah Islam Darul Furqan (SRIDAF),” katanya.
Mohd Nazri meninggalkan seorang balu Siti Khumairo serta lapan anak.
Jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Padang Luas, kira-kira jam 3.30 petang.
Terdahulu, kedua-dua jenazah disembahyangkan di Masjid As-solihin, Padang Luas selepas selesai solat Jumaat.
Suasana pilu turut menyelubungi tanah perkuburan apabila kira-kira 200 ahli keluarga dan rakan hadir memberi penghormatan terakhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd



