Walaupun diejek, Amorim yakin United mampu bangkit semula musim depan

Walaupun diejek, Amorim yakin United mampu bangkit semula musim depan

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ejekan ‘boo’ selepas tumbang 0-1 di tangan pasukan Asean All-Star langsung tidak melemahkan semangat pemain Manchester United yang terus kempunan untuk menjulang trofi.

Dalam aksi persahabatan antarabangsa merebut Piala Cabaran Maybank di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi menyaksikan hasrat anak didik Ruben Amorim untuk memenangi aksi itu tidak kesampaian.

Sebaliknya pasukan Asean All-Star tampil lebih bersemangat menerusi corak permainan pantas untuk mengecewakan gergasi Liga Perdana Inggeris itu.

“Mungkin ejekan daripada penyokong itu, sesuatu yang kami perlukan kerana kami tahu penyokong sentiasa berada di belakang kami. Apapun, kita tunggu pada musim depan.

“Sudah tentu kita sepatutnya beraksi dengan lebih baik tetapi kita bermain dengan perlahan dan tidak begitu bersungguh-sungguh. Apa yang penting adalah tiada pemain yang mengalami kecederaan.

“Kami mengambil risiko dengan menurunkan beberapa pemain untuk menghormati penyokong. Kami sepatutnya menang perlawanan seperti ini,” katanya.

Kekalahan skuad bimbingan Amorim itu disaksikan 72,550 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan yang penuh menghiburkan untuk menutup kunjungan penuh duka di Kuala Lumpur sebelum mereka meneruskan pramusim di Hong Kong, Jumaat ini.

Jaringan kemenangan Asean All Stars dijaringkan Mg Mg Lwin pada minit ke-71 selepas dia menyambut hantaran Adrian Segecic dan menewaskan Tom Heaton.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top