am@hmetro.com.my
Marang: “Kalau ikutkan masa yang diperlukan 14 hari, namun kerana hajat pelanggan, kami berjaya siapkan dalam tempoh 32 jam,” kata Azman Rahim (bukan nama sebenar).
Azman merupakan seorang bekas prospek (bekas banduan) yang kini bekerja di sebuah bengkel menenun songket di sini, selepas tamat menjalani hukuman penjara pada tahun lalu.
Menceritakan lebih lanjut Azman, 33, berkata, songket yang ditenun bersama rakannya bulan lalu merupakan tenunan terpantas pernah dilakukannya.
Menurutnya, untuk tidak menghampakan pelanggan, dia memulakan tugas yang dilihat hampir mustahil namun berjaya dilaksanakan dalam tempoh hanya 32 jam sahaja.
“Kalau ikutkan sehelai kain songket bunga biasa mengambil masa kira-kira 14 hari untuk disiapkan namun kerjasama kami bertiga berjaya menyiapkan dalam tempoh lebih singkat.
“Kami tetap menekankan kualiti dan tiada kecacatan pada kain yang ditenun secara ‘ekspres’ itu,” katanya.
Menurutnya, walaupun ‘ekspres’ namun kualiti kain songket dihasilkan dijamin mutunya kerana yang menjadikan ia cepat adalah waktu kerja yang panjang dan berterusan.
Katanya, pengalaman itu dilakukan pada penghujung Ramadan lalu yang dianggap paling mencabar sepanjang berkecimpung dalam bidang tenunan songket sejak enam tahun lalu.
Azman berkata, walaupun pada mula dilihat mustahil namun berkat kerja berpasukan berjaya merealisasikan hajat pelanggan untuk mendapatkan songket air tangan bekas prospek.
“Walaupun pernah menghuni tirai besi namun kemahiran yang diajar merupakan bekal yang bernilai buat saya dan rakan-rakan untuk meneruskan kehidupan selepas dibebaskan,” katanya.
Rakannya, Abdul Rahman, 37, (bukan nama sebenar) berkata, dia berjaya menyiapkan sehelai kain dalam tempoh 14 hari.
“Kalau ikutkan songket bermotifkan bunga tabur mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan kerana kesukaran untuk menghasilkannya.
“Kain songket bunga tabur merupakan satu songket yang amat sukar untuk dihasilkan kerana perlu ketelitian dan mengambil masa yang panjang,” katanya.
Menurutnya, walaupun bersengkang mata untuk menyiapkannya namun dia berpuas hati kerana berjaya memendekkan waktu untuk menyiapkan sehelai songket tanpa kecacatan.
Pengusaha songket, Siti Mariam Said, 46, berkata, prospek yang bekerja di bengkelnya sememangnya terlatih dan berkemahiran kerana sudah didedahkan dengan teknik tenunan yang tertentu mengikut kemampuan.
“Prospek yang bekerja di bengkelnya mempunyai kemahiran tinggi dalam tenunan dan setiap helai kain songket dijual dengan harga RM1,900 hingga RM12,000 bergantung kepada corak yang dihasilkan,” katanya.
Menurutnya, saban tahun permintaan songket tenunan tangan yang dihasilkan prospek mendapat sambutan tinggi hinggakan pihaknya tidak sempat untuk menyimpan stok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




