am@hmetro.com.my
Alor Setar: Walaupun kos bahan mentah seperti mentega, telur dan coklat meningkat menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini, namun masih ada peniaga biskut raya yang memilih untuk mengekalkan harga jualan demi membantu pelanggan.
Pengusaha biskut raya dari rumah, Habibah Mustafa, 40, berkata, dia sedar ramai pelanggan kini berdepan tekanan kos sara hidup menyebabkan dia mengambil keputusan untuk tidak menaikkan harga biskut yang dijualnya.
Katanya, walaupun harga bahan mentah meningkat hampir 20 hingga 30 peratus berbanding tahun lalu, dia masih mengekalkan harga biskut serendah RM10 hingga RM38 sebalang.
“Walaupun biskut raya yang dijual RM10 dalam bekas bersaiz kecil, tetapi sambutannya agak luar biasa sejak awal Ramadan lalu dan ramai yang membelinya.
“Selain itu ada juga biskut yang saya jual dengan harga kombo iaitu RM50 iaitu biskut coklat rice, tart nanas dan samperit. Kalau dikira untungnya pada pelanggan kerana satu balang biskut itu jatuh RM16.
“Ada juga biskut raya yang lain dijual antara RM22 sehingga RM38 sebalang mengikut kuantiti tetapi masih mendapat permintaan tinggi dan mendapat tempahan banyak, malah bahan yang digunakan semuanya bahan premium, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di Hutan Kampung, di sini.
Habibah berkata, walaupun tempahan biskut raya yang dihasilkannya sebelum ini pernah mendapat permintaan tinggi di negeri lain termasuk Kuala Lumpur dan Cameron Highlands, Pahang namun tahun ini, dia mengutamakan pasaran Kedah saja.
Katanya, saiz biskut raya yang dihasilkannya juga masih sama seperti tahun sebelum ini supaya pelanggan merasa puas hati walaupun keuntungan yang diperoleh tidak seberapa.
“Memang kos bahan naik, terutama mentega dan coklat. Tetapi saya rasa tidak sampai hati untuk naikkan harga terlalu tinggi kerana ramai pelanggan setia yang sudah membeli dengan saya sejak beberapa tahun lalu.
“Bagi menampung peningkatan kos itu, saya terpaksa mengurangkan sedikit keuntungan selain membeli bahan mentah secara pukal untuk mendapatkan harga lebih rendah.
“Bagi saya, berniaga bukan sekadar mencari keuntungan semata-mata, tetapi juga untuk berkongsi rezeki dengan pelanggan terutama menjelang perayaan,” katanya.
Habibah berkata, dia bersyukur kerana perniagaan secara kecil-kecilannya di rumah sejak lapan tahun lalu masih kekal sehingga hari ini walaupun berlaku peningkatan kos bahan mentah.
Katanya, dia mula menghasilkan tiga jenis biskut raya seawal jam 6 pagi hingga 2 petang setiap hari dengan dibantu anaknya, Nur Hafisha Qistina Mohd Zairie, 18, dan dua orang pekerja.
“Dalam sehari, saya mampu siapkan sekurang-kurangnya 20 balang untuk tiga jenis biskut raya dan dijangka berterusan sehingga Aidiladha ini.
“Saya percaya rezeki itu ada. Bila kita jaga pelanggan, Insya-Allah pelanggan akan jaga kita semula,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




