nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Walaupun mengalami kerugian kira-kira RM40,000 kerana tindakan seorang pekerjanya melarikan wang, namun pemilik sebuah butik perancang perkahwinan bersedia mengambil tanggungjawab untuk meneruskan majlis pelanggan yang terjejas tanpa caj tambahan.
Nazirul Helmi Mohamad, 32, berkata, pekerja wanita berusia 27 tahun itu sudah empat tahun bekerja di butiknya dan bukan pekerja bermasalah.
“Namun, saya terkejut apabila dimaklumkan oleh staf lain bahawa ada pelanggan datang ke butik pada Jumaat lalu maklumkan yang mereka bayar ke akaun bank pekerja berkenaan.
“Staf lain kemudian bertanyakan perkara itu kepada wanita berkenaan dan dia minta beri masa untuk pulangkan semua wang pelanggan yang dimasukkan ke dalam akaun banknya.
“Keesokan harinya, dia tidak datang. Kami carinya di rumah dan dimaklumkan ahli keluarganya bahawa wanita itu sudah keluar bersama suami serta anak kecil mereka dan tidak balik ke rumah sehingga kini,” katanya ketika dihubungi.
Nazirul berkata, pelbagai alasan digunakan wanita itu bagi meyakinkan pelanggan supaya membuat pembayaran ke akaun bank miliknya termasuk menyamar sebagai pemilik butik.
“Wanita itu kerap beri pelbagai alasan untuk bawa telefon milik syarikat balik ke rumah. Kami sudah larang dia bawa balik telefon tetapi dia buat perkara itu secara curi-curi.
“Ada pelanggan maklumkan dia menyamar sebagai saya dengan menghubungi mereka melalui telefon syarikat dan minta pelanggan bayar pakej diambil,” katanya.
Menurutnya, dia buat keputusan untuk memuat naik hantaran di media sosial selepas menerima aduan pertama bagi melihat jumlah pelanggan yang ditipu oleh pekerja terbabit.
“Alangkah terkejutnya saya apabila ramai pelanggan yang ditipu wanita terbabit. Setakat hari ini, seramai 13 pelanggan terbabit dengan jumlah kerugian kira-kira RM40,000.
“Sepanjang tempoh 12 tahun, saya menjalankan perniagaan ini, ini adalah kali pertama saya mengalami situasi sebegini. Saya jadi panik dan tidak tahu nak buat apa pada mulanya.
“Selepas bertenang dan mengadakan perbincangan dengan pelanggan, saya bersetuju untuk bertanggungjawab dengan memberikan khidmat seperti dalam pakej diambil mereka tanpa caj tambahan,” katanya.
Katanya, dia tidak mahu dilihat sebagai penipu sedangkan dirinya juga tertipu dan terpaksa menanggung kerugian akibat perbuatan wanita berkenaan.
“Saya anggap ini adalah dugaan saya dalam perniagaan. Saya perlu ambil tindakan ini (bertanggungjawab) bagi menjaga imej sendiri dan perniagaan ini supaya pelanggan percaya.
“Saya harap selepas ini pelanggan lebih cakna supaya membuat pembayaran ke akaun bank milik syarikat dan bukannya akaun milik persendirian,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, Sabtu lalu.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang pekerja perancang perkahwinan diburu polis selepas dipercayai melarikan wang deposit pelanggan mencecah lebih RM17,000.
Wanita itu didakwa memperdayakan sekurang-kurangnya lapan bakal pengantin di Merlimau dengan menawarkan pakej perkahwinan sebelum menghilangkan diri bersama bayaran deposit yang dimasukkan ke akaun peribadinya.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert dilaporkan berkata, pihaknya menerima sembilan laporan polis berhubung kes itu termasuk daripada majikan suspek.
© New Straits Times Press (M) Bhd




