“Walaupun Sikit Anda Bagi Isteri Nafkah.. Tapi Itulah Barakah”- Nora Danish

“Walaupun Sikit Anda Bagi Isteri Nafkah.. Tapi Itulah Barakah”- Nora Danish

Pelakon jelita Nora Danish mencuri perhatian selepas berkongsi pengalaman hijrahnya termasuklah kehidupannya sebagai seorang anak seni, isteri dan ibu.

Menerusi sesi temu bual podcast yang dihoskan oleh Neelofa dan Natasha Ozier, Nora berkata, golongan suami tidak seharusnya culas dalam  memberikan nafkah.

Malah, teraju utama drama popular Puteri itu berkongsi banyak kes perceraian berlaku adalah disebabkan faktor kewangan.

“Realitinya memang banyak yang berlaku dekat luar sana yang suami tak jalankan tanggung jawab dan ambil ringan isu pemberian nafkah.

“Peguam saya sendiri beritahu ramai pasangan bercerai disebabkan masalah kewangan,” katanya.

Mengulas lanjut, Nora atau nama penuhnya, Nora Mohd Danish Hanif, 42, memaklumkan, masih ramai golongan suami yang masih tidak cakna dengan konsep nafkah.

Bahkan, ada yang berpendapat sekiranya golongan isteri bekerja, tanggung jawab memberikan nafkah itu sudah tidak menjadi keutamaan mereka.

“Ramai golongan suami yang kurang faham tentang konsep nafkah sehingga ada yang menganggap isteri yang bekerja tidak perlu diberi nafkah.

“Jadi, kita perlu didik golongan lelaki terutamanya yang bakal bergelar suami untuk mengambil berat isu nafkah ni. Walaupun sikit anda bagi isteri, tapi itulah barakah sebenarnya,” ulasnya.

Dalam pada itu, Nora turut mengulas mengenai penghijrahannya.

Katanya, perceraian dengan bekas suami memberikan impak yang besar dalam perjalanan hijrahnay untuk menjadi muslimah yang lebih baik.

“Masa tu saya terfikir, Allah memang akan beri dugaan pada hambaNya yang sesuai kemampuan dan hanya untuk menambahkan lagi keimanan mereka. Sebab kalau fikir, kalau tak beriman macam mana nak berjaya lalui atau hadap ujian yang sedikit ni.

“Dan saya sedar bila kita kahwin kerana cinta, cinta itu yang melakukan anda.

“Bila kahwin kerana Tuhan barulah saya faham jalan menuju Allah SWT itu sangat indah,” jelasnya.

 

 

Sekadar info, Nora dan Nedim bernikah pada 30 Mac 2017 dan mengambil keputusan untuk bercerai pada 16 Jun lalu.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Mohamed Neqayl, 6 tahun.

Scroll to Top