Wali Band Kembali Ke Malaysia, Mahu Tebus Kekecewaan Peminat Menerusi 2 Konsert Solo Di KL & KK

Wali Band Kembali Ke Malaysia, Mahu Tebus Kekecewaan Peminat Menerusi 2 Konsert Solo Di KL & KK

Kumpulan popular dari Tangerang, Indonesia, Wali Band bakal kembali menghiburkan peminat di Malaysia menerusi dua konsert solo yang dijadualkan berlangsung di Sabah dan Kuala Lumpur tahun ini.

Kumpulan yang dianggotai Faank sebagai vokalis, Apoy di posisi gitar, Tomi selaku pemain dram serta Ovie di papan kekunci itu akan menjayakan Konsert Wali Live in Kota Kinabalu di Sabah International Convention Centre pada 12 April 2026, sebelum meneruskan persembahan menerusi Konsert Wali Band Kembali di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 Mei 2026.

Kehadiran semula kumpulan tersebut dilihat sebagai usaha untuk menebus kekecewaan peminat susulan beberapa insiden yang berlaku dalam penganjuran konsert sebelum ini.

Faank berkata mereka menyedari ramai peminat di Sabah berasa kecewa apabila konsert yang dijadualkan berlangsung di Kota Kinabalu pada 2024 tidak menjadi kenyataan.

“Kami juga turut merasakan kekecewaan yang sama. Apa yang berlaku ketika itu sebenarnya di luar kawalan kami dan kami sendiri tidak mengetahui dengan jelas mengapa konsert itu tidak dapat diteruskan.

“Apabila mendapat tawaran daripada pihak penganjur untuk kembali mengadakan konsert di Kota Kinabalu, kami melihatnya sebagai peluang untuk menunaikan janji kepada peminat di sana,” katanya.

Menurut Faank, dia juga memahami mungkin ada segelintir peminat yang masih ragu-ragu apabila mendengar pengumuman konsert tersebut.

“Mungkin ada yang masih kurang yakin atau berasa sangsi, tetapi kami berharap peminat dapat menunggu kehadiran kami nanti. Kami sendiri sudah tidak sabar untuk kembali beraksi di hadapan mereka,” katanya.

Selain Sabah, Wali Band juga akan kembali mengadakan konsert solo di Kuala Lumpur selepas insiden yang berlaku dalam Konsert RadjaWali pada awal tahun ini.

Faank berkata kumpulan itu memahami perasaan peminat yang tidak berpeluang menikmati persembahan mereka sepenuhnya pada konsert tersebut.

“Kami faham ramai peminat di Malaysia berasa kecewa kerana tidak dapat menikmati persembahan kami seperti yang diharapkan.

“Disebabkan itu kami mahu kembali dengan konsert solo sendiri sebagai cara untuk menebus kekecewaan mereka.

“Apa yang berlaku sebelum ini tidak mematahkan semangat kami. Sebaliknya ia membuatkan kami lebih bersemangat untuk memberikan persembahan yang lebih baik,” katanya.

Menurut Faank, kedua-dua konsert tersebut akan menampilkan senarai lagu yang lebih padat termasuk lagu hit yang sering menjadi kegemaran peminat.

“Kami akan membawa lebih banyak lagu popular supaya peminat benar-benar puas menikmati persembahan kami. Kami mahu mereka pulang dengan pengalaman konsert yang lebih bermakna,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama dengan penganjur yang sama walaupun pernah berdepan insiden terdahulu, Faank berkata kumpulan itu mempunyai alasan tersendiri.

“Kami selesa bekerjasama dengan pasukan ini kerana mereka mempunyai pengalaman dan profesional dalam mengendalikan konsert. Rekod kerja mereka sebelum ini juga baik.

“Apa yang berlaku sebelum ini adalah perkara yang kadang-kadang boleh berlaku dalam penganjuran acara besar. Ada situasi yang berada di luar jangkaan,” katanya.

Sementara itu, wakil penganjur Mubarak Akhtar Mohd Aris berkata penganjuran konsert baharu ini juga merupakan usaha untuk memulihkan kepercayaan peminat.

“Konsert ini dianjurkan sebagai tanda tanggungjawab kami terhadap apa yang berlaku sebelum ini. Kami mahu memastikan pengalaman penonton kali ini lebih tersusun dan berkualiti.

“Keutamaan kami bukan sekadar keuntungan tetapi memastikan peminat benar-benar berpuas hati dengan persembahan yang disajikan,” katanya.

Tambahnya, pelbagai aspek teknikal seperti sistem bunyi, pencahayaan serta susunan persembahan akan diberi perhatian bagi memastikan pengalaman konsert yang lebih memuaskan.

Konsert tersebut dijangka menampilkan persembahan pentas yang lebih bertenaga dengan interaksi lebih dekat bersama peminat.

Tiket Konsert Wali Live in Kota Kinabalu akan mula dijual pada 12 Februari 2026 dengan harga RM688 bagi kategori Cari Jodoh (VIP), RM488 bagi kategori Yank (Gold), RM288 bagi kategori Baik Baik Sayang dan RM98 bagi kategori Nenekku Pahlawanku.

Sementara itu, tiket Konsert Wali Band Kembali di Kuala Lumpur akan mula dijual pada 16 Februari 2026 dengan harga RM777 (VIP), RM327 (CAT2), RM137 (GA), RM237 (CAT3), RM177 (CAT4), RM157 (CAT5), RM127 (CAT6) dan RM77 (CAT7).

Pembelian tiket boleh dibuat menerusi laman web www.ilassotickets.com.

Scroll to Top