Walker ucap selamat tinggal kepada England

Walker ucap selamat tinggal kepada England

LONDON: Bek kanan berpengalaman England, Kyle Walker mengumumkan persaraan daripada pentas antarabangsa selepas mengumpul 96 penampilan bersama skuad kebangsaan England sepanjang kariernya.

Pemain berusia 36 tahun itu menutup tirai perjalanan bersama negaranya selepas mewakili England dalam lima kejohanan utama termasuk dua pentas akhir Euro pada edisi 2021 dan 2024.

Walker yang kini beraksi bersama Burnley FC membuat keputusan tersebut ketika peluangnya untuk dipilih ke Piala Dunia seterusnya semakin tipis.

Sepanjang karier antarabangsa yang menjangkau 14 tahun, Walker turut menjadi antara tonggak penting England sejak penampilan sulungnya pada 2011.

“Saya sedih membuat keputusan ini, tetapi pada masa sama saya amat bangga dengan apa yang telah saya capai bersama England.

“Mewakili negara dalam lima kejohanan besar serta mara ke pentas final bersama rakan sepasukan dan jurulatih hebat merupakan satu penghormatan besar dalam hidup saya,” kata Walker.

Bekas pertahanan Manchester City itu juga mengakui sudah tiba masanya untuk menutup lembaran kariernya di pentas antarabangsa.

“Namun hari ini adalah masa yang sesuai untuk menamatkan perjalanan itu dan saya berasa lega dapat menutup karier antarabangsa ini dengan baik,” jelasnya lagi.

Bos England, Thomas Tuchel turut memuji dedikasi Walker yang dianggap antara pemain terbaik pernah menyarung jersi negaranya.

“Saya yakin seluruh penyokong England akan mengucapkan tahniah kepada Kyle atas karier antarabangsa yang luar biasa kerana tempoh 14 tahun dan lima kejohanan utama membuktikan dedikasinya kepada negara,” kata Tuchel. – AGENSI

Scroll to Top