
BEIRUT: Sekurang-kurangnya 20 maut susulan letupan walkie talkie di Lubnan pada Rabu waktu tempatan, ketika Zionis Israel mengisytiharkan ‘fasa baharu perang’ menentang pejuang Islam Hizbullah.
Walkie talkie atau ‘radio pegang tangan’ yang digunakan oleh Hizbullah meletup di seluruh Lubnan dalam gelombang kedua letupan maut ketika menteri pertahanan Israel mengisytiharkan negaranya memasuki ‘fasa perang baharu’ di sempadan utaranya dengan Lubnan.
Lebih mengejutkan apabila walkie talkie itu meletup ketika perarakan bagi pengebumian mangsa yang terkorban dalam kejadian letupan alat kelui tersebut.
Kementerian Lubnan dalam kenyataannya berkata, sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan 450 cedera akibat letupan itu di lokasi yang masih tidak diperincikan tetapi dilaporkan terjadi di bahagian selatan Beirut dan juga bandar Tyre pada tengah hari Rabu, waktu tempatan, lapor Al Jazeera.
Letupan yang juga melibatkan komputer riba dan radio itu berlaku 24 jam selepas beribu-ribu alat kelui yang meletup membunuh 12 mangsa dan mencederakan hampir 3,000 yang lain dalam serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang telah dipersalahkan oleh Hizbullah ke atas Israel.
Walaupun Zionis Israel tidak mengulas mengenai kejadian letupan alat kelui di Lubnan pada Selasa itu, jari telah dituding kepada agensi perisiknya, Mossad yang diketahui sering menjalankan operasi licik di pelbagai negara seluruh dunia.
Sumber kanan keselamatan Lubnan dan sumber kedua memberitahu pemberita bahawa Mossad yang mempunyai sejarah panjang serangan kompleks di negara-negara luar, terutama di rantau Arab telah menanam bahan letupan di dalam alat kelui yang meletup di Lubnan dan Syria itu.
Serangan letupan walkie-talkie itu mempunyai ciri yang sama dengan siri letupan alat kelui di seluruh selatan Lubnan dan di pinggir selatan ibu kota Beirut; serta di Syria dengan kebanyakan luka mangsa adalah di bahagian perut dan tangan mereka. -Agensi/– HARAKAHDAILY 19/9/2024








