saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan sokongan akan membantu badan induk itu menamatkan kemarau 34 tahun Malaysia untuk memenangi Piala Thomas.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu dizahirkan oleh isteri Perdana Menteri itu ketika melakukan lawatan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini untuk bertemu pemain, jurulatih kebangsaan serta menerima taklimat daripada pengurusan serta Ahli Majlis BAM.
“Hari ini kita diberi penghormatan menerima kehadiran Penaung BAM untuk mendengar taklimat pengurusan, sasaran serta kos operasi BAM.
“Kita turut membentangkan harapan dan sasaran tahun ini termasuk misi besar kita untuk Piala Thomas. Beliau menyatakan sokongan penuh dan komitmen untuk membantu BAM mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” katanya ketika sidang media selepas sesi lawatan, hari ini.
Jelas Tengku Zafrul, antara perkara yang dibincangkan bersama Wan Azizah adalah keperluan mendapatkan lebih banyak sokongan daripada sektor swasta bagi memperkukuh kewangan serta memastikan semua program berjalan lancar.
“Penaung menyatakan kesediaan untuk memberi sokongan dan bimbingan supaya kita bukan saja capai sasaran, malah memastikan nilai yang betul diterapkan dalam kalangan pemain dan pengurusan,” katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul mengakui cabaran berliku bakal menanti skuad negara di saingan Piala Thomas yang akan berlangsung di Horsens, Denmark dari 24 April sehingga 3 Mei depan, khususnya dalam acara perseorangan lelaki.
“Kita memang meletakkan sasaran tinggi. Secara realistik, kita sedar ada cabaran terutama dalam perseorangan lelaki berbanding beregu yang lebih konsisten.
“Namun kita sedang merangka strategi terbaik dari segi teknikal, fizikal dan mental bagi memastikan pasukan berada pada tahap optimum apabila kejohanan bermula,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




