Pergolakan dalaman Bersatu semakin memuncak apabila penyokong Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dilaporkan semakin terpisah hingga ke tahap sukar dipulihkan.
Cabar Hamzah Zainudin dipecat
Menerusi hantaran Facebook pemimpin Bersatu yang digantung keahliannya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, tampil mencabar pihak yang didakwanya sebagai musuh Hamzah.
Beliau turut menuduh Muhyiddin dikelilingi “kaki ampu dan kaki bodek” serta mendakwa terdapat pemabuk dan pelaku maksiat dalam kalangan mereka, walaupun tidak menamakan individu tertentu.
“Tak perlu berdrama lagi dalam media dengan hantar barua dan budak suruhan. Jadi anak jantan sebenar. Tiga tahun lamanya bacul kamu menunggu nak pecat Dato’ Seri Hamzah Zainuddin!
Nak pecat, pecat betul-betul. Jangan baling batu sembunyi tangan macam pondan!” katanya.
Wan Fayhsal di ‘kubu’ Hamzah Zainudin?
Dalam pada masa yang sama, Wan Fayhsal turut menambah, pemimpin-pemimpin ini tidak mempunyai maruah kerana mereka “terhutang budi” kepada kerajaan Madani.
“Sudahnya dalam Bersatu yang presiden nak dengar sangat hanyalah puak kaki ampu, kaki bodek, kaki jilat, kaki mabuk, dan bermacam-macam kaki yang Allah dan Rasul terang-terang laknat.
Mana pergi maruah? Mana ada maruah kalau dah kena pegang dengan puak Madani!” katanya lagi.
Beliau juga mendakwa beberapa pimpinan yang rapat dengan Muhyiddin mempunyai kes-kes tertunggak dengan SPRM, namun tidak mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya.
Wan Fayhsal merupakan antara Ahli Parlimen Bersatu yang dikenakan tindakan berikutan usaha untuk menggulingkan Muhyiddin sebagai presiden, manakala Hamzah sekian lama dituduh menyokong kem anti-Muhyiddin walaupun sering menzahirkan kesetiaan secara terbuka.

Difahamkan, sekutu Hamzah sedang menggembleng tenaga untuk mempertahankan beliau, sementara spekulasi mengenai gerakan untuk memecat atau menggantung timbalan presiden itu terus bertiup kencang.
Lembaga Disiplin Bersatu turut dilaporkan memanggil Hamzah buat kali kedua berhubung dakwaan terlibat dalam usaha menjatuhkan Muhyiddin.

Walau bagaimanapun, dalam suasana tegang tersebut, Muhyiddin sempat menganjurkan majlis makan malam untuk wakil rakyat dan pemimpin lantikan Bersatu di kediamannya malam tadi, yang disifatkan sebagai majlis ramah mesra menjelang Ramadan.

Artikel lain: Mesyuarat di rumah Muhyiddin: “Jemput pun tidak…” -Hamzah Zainudin
Antara yang hadir ialah Radzi Jidin (Putrajaya), Suhaimi Abdullah (Langkawi), Azmin Ali (Hulu Kelang), Afif Bahardin (Taman Medan), Hilman Idham (Gombak Setia) dan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah.
Sumber: Facebook Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal






