norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kebanyakan anak seni tanah air terutama penyanyi yang mengecap populariti dalam karier seni ketika ini memulakan langkah mereka menerusi program realiti TV.
Bukan sekali dua menyertai pertandingan sudah menang, tetapi ada yang berkali-kali bagi memastikan impian jadi kenyataan termasuk berjaya merangkul kemenangan.
Antara penyanyi yang digilap bakatnya menerusi pertandingan ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Sheila Amzah, Faizal Tahir, Black Hanifah, Marsha Milan, Adira Suhaimi dan Alif Satar.
Tentu ada yang tertanya-tanya apa yang dilakukan artis tempatan dengan wang hadiah kemenangan menerusi program realiti dan acara anugerah tertentu?
Yang pasti, macam-macam boleh dilakukan dengan hadiah wang tunai mencecah puluhan dan ratusan ribu ringgit itu daripada program realiti atau pertandingan seperti Anugerah Juara Lagu (AJL), Gegar Vaganza (GV), Maharaja Lawak Mega (MLM), Raja Lawak, Big Stage dan Mentor Legend.
Ada yang menggunakannya untuk membantu mereka bertapak, termasuk perbaiki kehidupan dengan membeli aset peribadi, simpanan, urusan perkahwinan dan sebagainya.
Ikuti rangkuman beberapa artis yang pernah menang dalam pertandingan disertai dan meraih hadiah berupa wang tunai seperti Aina Abdul, 32; Siti Nordiana, 41; Azzam Sham, 28; Man Raja Lawak, 48; dan Nadeera Zaini, 32.
Aina Abdul (naib juara Mentor Legend)
Pentas Mentor Legend 2014 di TV3 pernah menjadi medan saingan Aina dalam usahanya mengejar impian bergelar penyanyi.
Mendapat bimbingan Ella sebagai protege ketika itu, gandingan mereka berdua muncul naib juara.
“Mentor Legend adalah program realiti TV pertama yang saya sertai dengan Kak Ella sebagai mentor saya.
“Seronok menang RM100,000 masa itu walaupun saya naib juara. Jumlah wang dimenangi agak besar.
“Cuma, seingat saya wang itu saya gunakan sebagai bayaran pendahuluan untuk kereta Perodua Myvi.
“Selain itu, saya guna untuk bayar yuran pengajian sarjana muda muzik di sebuah universiti swasta.
“Saya bincang dengan emak dan minta izin untuk teruskan pengajian kerana bagi saya menimba ilmu sangat penting,” katanya.
Siti Nordiana (juara GV2)
Muncul juara program Gegar Vaganza musim kedua (GV2) pada 2015 nyata berjaya membawa perubahan besar dalam kehidupan dan pengaruh karier nyanyian Siti Nordiana.
Dia berjaya membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM100,000 yang baginya rezeki sangat bermakna.
“Masa menang GV2 itu, wang diterima Nana guna untuk beli rumah dan buat simpanan untuk kegunaan masa depan.
“Selain itu, Nana juga beli kereta. Alhamdulillah, syukur sangat sebab Nana dapat beli sedikit aset peribadi atas nama sendiri.
“Sudah 10 tahun berlalu, rezeki juara di GV2 itu mengubah kehidupan Nana apabila sehingga kini undangan menyanyi sentiasa ada,” ujarnya.
Menurut Nana, bagi pengurusan kewangannya ketika itu dia turut melantik akauntan bertauliah untuk mendapatkan khidmat nasihat.
Azzam Sham (juara Big Stage 3)
Menjadi antara momen indahnya dalam karier seni, Azzam Sham pernah dinobatkan menang RM100,000 selaku juara program realiti Big Stage musim ketiga.
Namun, daripada jumlah itu, dia hanya mendapat RM70,000 saja, manakala RM30,000 lagi diambil oleh syarikat rakaman dinaungi.
“Duit kemenangan itu saya tak dapat sepenuhnya RM100,000 sebab ketika itu saya masih lagi di bawah pengurusan syarikat rakaman.
“Jadi, duit berkenaan kena potong 30 peratus (untuk syarikat rakaman) dan saya hanya dapat miliki sebanyak RM70,000 saja.
“Saya gunakan duit itu, pertamanya untuk kahwin dengan isteri, Sheryl Shazwanie. Selain itu, saya juga gunakan sebagai modal perniagaan keluarga,” katanya.
Azzam berkata, wang kemenangan diraih itu diberikan semuanya oleh pihak produksi kepada syarikat rakaman dan kemudian baru diserahkan kepadanya.
Man Raja Lawak (juara Raja Lawak 5)
Kemenangan pertama kali dalam Raja Lawak musim kelima (RL5) pada 2011 lalu menjadi lembaran baharu Man yang sebelum itu bekerja sebagai kakitangan Pos Malaysia.
Meraih RM100,000 selaku juara, hasil kemenangan itu digunakan Man untuk urusan keluarga selain berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.
“Apa-apa pun, kemenangan dalam Maharaja Lawak Mega (MLM) pada 2019 bersama kumpulan Puteh ketika itu adalah pengalaman sangat bermakna.
“Saya, Ali dan Mamak menang RM500,000 sebagai juara dan hadiah wang itu kami bahagi tiga. Tapi, pada 2020 pula berlaku pandemik Covid-19.
“Banyak rakyat Malaysia terjejas pendapatan dan saya ambil inisiatif hulur sumbangan RM50,000 untuk bantu mereka memerlukan.
“Alhamdulillah, dalam empat hari semua wang itu (RM50,000) habis disumbangkan, tapi orang tetap tak berhenti mesej (DM) saya di Instagram minta duit lagi,” katanya.
Nadeera Zaini (naib juara AJL39)
Pertama kali menjadi finalis Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL39) pada Februari lalu dan muncul naib juara dengan lagu Bukan Lagi Kita, Nadeera menyifatkan ia sebagai anugerah terindah.
Meskipun membawa pulang RM50,000 hasil kemenangan itu, bagi Nadeera yang penting impiannya untuk berentap di pentas AJL sudah menjadi kenyataan.
“Duit kemenangan di AJL39 itu saya guna buat beli mikrofon sendiri untuk memudahkan saya dalam persembahan nyanyian.
“Tawaran menyanyi juga makin banyak dan senang kalau ada mikrofon sendiri. Selain itu, saya merancang bawa ibu bapa bercuti.
“Tapi belum dapat lagi (bawa ibu bapa cuti) sebab saya agak sibuk dengan kerja dan insya-Allah, mungkin tahun depan,” katanya.
Kata Nadeera, memang hasrat utamanya untuk membahagiakan ibu bapa yang tidak pernah jemu menyokong minatnya menjadi penyanyi.
Nadeera juga sebelum ini sering menyertai program realiti TV antaranya Vokal Bukan Sekadar Rupa, Mentor Legend, Lagu Cinta Kita dan Big Stage 5.
© New Straits Times Press (M) Bhd