Wani Kayrie tidak menyangka Cak Cak Cekuk mara ke AJL40 SA

Wani Kayrie tidak menyangka Cak Cak Cekuk mara ke AJL40 SA

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi, Wani Kayrie, mengakui tidak menyangka pertaruhannya menerusi lagu Cak Cak Cekuk ciptaan Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Anugerah Juara Lagu 40 Separuh Akhir (AJL40 SA) memandangkan persaingan sengit daripada pelbagai genre muzik masa kini.

Wani, 26, berkata jurang masa yang agak lama untuk ke peringkat separuh akhir membuatkannya sempat berasa ragu-ragu dengan peluang lagu itu untuk tersenarai.

“Jujurnya saya tidak menjangkakan perkara ini. Bila kita tidak terlalu berharap dan tiba-tiba ia menjadi kenyataan, sudah tentu rasa sangat gembira,” katanya kepada Harian Metro.

Menariknya, Cak Cak Cekuk muncul sebagai satu-satunya wakil bagi kategori lagu etnik atau irama Malaysia dalam senarai 20 lagu yang bertanding.

Mengulas mengenai keunikan lagu itu, Wani menjelaskan bahawa dia dan komposer menyuntik elemen muzik baharu bagi memastikan irama tradisional itu kedengaran lebih segar dan moden.

“Walaupun saya daripada generasi Gen Z, saya sangat mahu mengangkat semula genre muzik tradisional. Kita modenkan ia supaya sesuai dengan cita rasa pendengar muda sekarang demi menaikkan semula budaya Melayu kita,” katanya.

Ditanya mengenai harapan untuk melangkah ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL), Wani menyifatkan penyertaannya kali ini adalah demi memenuhi impian peminat yang tidak putus-putus menyokong dan mengundinya.

Malah, dia turut mendedahkan sokongan padu daripada kumpulan ‘human graphics’ yang pernah bekerjasama dengannya sewaktu persembahan Hari Kemerdekaan sebelum ini.

“Harapan itu tetap ada. Peminat siap berkata, jika saya masuk AJL, mereka mahu saya bawa sekali budak-budak ‘human graphics’ itu ke pentas,” katanya.

Mengenai persiapan persembahan untuk pusingan separuh akhir yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi, Wani menyatakan perkara itu masih dalam peringkat perbincangan bersama label pengurusannya.

“Buat masa ini belum ada konsep tetap, tetapi saya mahu lakukan sesuatu yang mempunyai kaitan dengan penceritaan dalam muzik video lagu berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Wani kini mahu memberikan fokus sepenuhnya terhadap persiapan Cak Cak Cekuk sebelum merancang untuk tampil dengan sebarang projek atau lagu baharu selepas ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top