Sibu : Seorang wanita maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan kenderaan pacuan empat roda di lampu isyarat Vista Perdana, Miri awal pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan mangsa berusia 23 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kejadian.
“Pasukan bomba telah mengeluarkan mangsa yang berada dalam kenderaan Perodua Bezza dengan menggunakan ‘stretcher’ dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat kemudiannya diserahkan pada polis untuk tindakan lanjut,” menurut JBPM Sarawak dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya seorang lagi mangsa dalam kenderaan Perodua Bezza serta pemandu kenderaan pacuan empat roda itu dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
JBPM Sarawak memaklumkan menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.05 pagi dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng digerakkan ke lokasi dan tiba pada 3.14 pagi sebelum operasi ditamatkan pada 4.15 pagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




