Wanita 37 tahun perdaya keluarga, hidup sebagai budak 12 tahun

Wanita 37 tahun perdaya keluarga, hidup sebagai budak 12 tahun

Santa Catarina, Brazil: Polis di Santa Catarina, Brazil baru-baru ini mendedahkan antara kes penipuan identiti paling pelik dalam sejarah mereka apabila seorang wanita berusia 37 tahun didapati menyamar sebagai kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang didakwa menjadi mangsa penderaan.

Ia bagi meyakinkan sebuah keluarga tempatan untuk mengambilnya sebagai anak angkat.

Siasatan mendapati wanita itu, Amanda Maria Souza de Oliveira, adalah pesalah berulang yang sebelum ini pernah menyamar sebagai remaja bawah umur di beberapa negeri lain termasuk São Paulo, Rio de Janeiro dan Minas Gerais.

Amanda dilaporkan memulakan penipuan identiti yang rumit itu dengan memperdaya seorang paderi gereja di bandar Joinville, bandar terbesar di Santa Catarina, bahawa dia adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun bernama Gabriela yang melarikan diri daripada keluarga yang menderanya.

Selepas berjaya memperoleh kepercayaan paderi dan ahli jemaah gereja berkenaan, dia bukan sahaja menerima bantuan kewangan malah turut diperkenalkan kepada sebuah keluarga tempatan yang kemudiannya membenarkannya tinggal bersama mereka.

Sepanjang tinggal bersama keluarga angkat baharunya, wanita berusia 37 tahun itu sengaja mengekalkan imej seperti kanak-kanak dengan minum susu menggunakan botol bayi, menggunakan puting tiruan untuk menenangkan diri dan malah meminta selimut khas untuk dipeluk ketika tidur pada waktu malam.

Dia juga bercakap dengan suara nyaring seperti kanak-kanak serta berpura-pura mengalami mimpi ngeri bagi meyakinkan ibu bapa angkatnya bahawa dia benar-benar seorang kanak-kanak yang memerlukan penjagaan.

Ramai tertanya-tanya bagaimana keluarga itu boleh mempercayai dakwaan Amanda memandangkan penampilannya jelas menunjukkan usia sebenar, malah kelihatan lebih tua.

Bagaimanapun, wanita berusia 37 tahun itu turut mempunyai penjelasannya sendiri.

Dia mendakwa dipaksa mengambil hormon ketika kecil sehingga menjejaskan penampilan fizikalnya, selain mendakwa bertahun-tahun menjadi mangsa penderaan bapanya turut memberi kesan terhadap dirinya.

Keluarga itu mempercayai segala yang diceritakan Amanda dan melimpahkan kasih sayang kepadanya.

Mereka mengadakan majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-12, membiayai ubat rawatan obesiti serta merancang untuk mengambilnya sebagai anak angkat secara sah.

Mereka langsung tidak mengesyaki sebarang penipuan, namun orang di sekeliling mula berasa curiga.

Seorang saudara keluarga itu akhirnya membuat laporan kepada polis dan meminta pihak berkuasa menyiasat latar belakang gadis tersebut.

Hasil siasatan kemudian mendapati “Gabriela” yang disangka berusia 12 tahun sebenarnya ialah seorang wanita dewasa berusia 37 tahun yang pernah melakukan penipuan serupa di beberapa lokasi lain di Brazil dengan menumpang kehidupan keluarga yang bersimpati terhadapnya.

Pada 2023, dia dilaporkan pernah menyamar sebagai kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dan mendakwa menjadi mangsa ritual ilmu hitam.

Bagi meyakinkan orang ramai bahawa dia benar-benar mangsa penderaan, wanita itu didakwa memasukkan kira-kira 100 batang jarum logam ke dalam kulit badannya sendiri.

Suspek dilaporkan mengaku melakukan perbuatan itu ketika disoal siasat oleh pihak berkuasa dan kemudiannya didakwa atas kesalahan penipuan serta pencurian identiti.

Selepas didakwa, wanita itu dipindahkan ke Penjara Joinville untuk tahanan lanjut.

Peguam yang mewakilinya turut memohon supaya satu penilaian psikiatri dijalankan, dengan alasan Amanda mungkin mengalami gangguan mental dan tidak bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakannya.

Permohonan itu dibuat bagi menentukan keadaan mental suspek serta sama ada ia mempengaruhi keupayaannya membuat pertimbangan ketika melakukan penipuan tersebut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top