Seoul: Wanita Korea Selatan ini mendapat julukan sebagai Ratu Perut Besar kerana mendakwa mampu menjamah makanan dalam kuantiti luar biasa dengan 30,000 kalori sehari.
Park Jung-won, 28, atau lebih dikenali sebagai Tzuyang, seorang pemilik sebuah restoran dan memiliki berat 50 kilogram (kg).
Menurut doktor, saiz perut Tzuyang 40 peratus lebih besar berbanding individu dengan fizikal sepertinya bahkan lebih besar daripada kebanyakan lelaki dewasa.
Tzuyang dikagumi bukan sahaja kerana wajahnya yang jelita dan susuk tubuh langsing, namun kerana selera makannya yang menakjubkan.
Antara pencapaian luar biasanya termasuk menghabiskan 10 mangkuk ramen, makan 101 pinggan sushi dan 33 hidangan usus lembu dalam satu sesi.
Wanita itu juga berjaya memakan 10 cawan mi segera ayam pedas dalam masa kurang tujuh minit, dan menelan 12 kg tiram bersaiz genggaman tangan dalam satu video.
Dalam satu lagi klip, dia berjaya menikmati stik daging seberat tiga kg bersama pasta, nasi kari, kentang lenyek serta tiga pencuci mulut ketika berada di sebuah restoran di Budapest.
Tzuyang kini menjelajah dunia, mencuba pelbagai makanan tempatan sambil berinteraksi dengan cef, berkongsi pengalaman rasa dan mendalami budaya makanan di setiap destinasi.
Walaupun mengambil kira-kira 30,000 kalori sehari atau 15 kali ganda berbanding wanita dewasa biasa Tzuyang tetap mengekalkan berat sekitar 50 kg dengan ketinggian 1.61 meter.
Dia mengakui jarang bersenam, tetapi mempunyai tiga hingga empat pergerakan usus setiap hari.
Baru-baru ini, Tzuyang berkongsi keputusan pemeriksaan kesihatannya di media sosial yang meraih hampir dua juta tontonan.
Doktor mendapati tahap gula dalam darahnya kekal stabil walaupun selepas makan dan menganggap tubuhnya mampu menyesuaikan diri dengan pengambilan makanan banyak.
Pemeriksaan turut menunjukkan usus dan buah pinggang Tzuyang sihat, tanpa sebarang masalah.
Rata-rata peminat menyifatkan videonya sebagai “mukbang’ paling menyentuh hati iaitu merujuk kepada trend popular Korea Selatan, individu merakam diri menikmati makanan dalam kuantiti besar.
© New Straits Times Press (M) Bhd