Wanita abai enam anak ditahan AADK

bhnews@bh.com.my

TUMPAT: Wanita yang dikatakan mengalami masalah kemurungan hingga mengabaikan enam anak ditahan sepasukan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pagi tadi.

Dia yang berusia 32 tahun itu ditahan di rumah nenek suaminya di Kampung Kebun, Pengkalan Kubor, kira-kira jam 7 pagi dan dipercayai masih di bawah pengaruh dadah.

Tular sebelum ini kisah lima anak wanita itu yang masih kecil dijaga anak sulungnya yang berusia 12 tahun.

Ibu mereka dikatakan enggan menjaga kerana mengalami masalah kemurungan manakala bapa mereka pula sudah ditahan polis, awal Februari lalu atas kesalahan dadah.

Pegawai AADK Daerah Tumpat, Siti Morni Mustafa, berkata sebaik menerima aduan, pihaknya segera ke rumah wanita terbabit dan menjalankan sesi ‘outreach’.

“Suspek ketika itu sedang tidur dan dia akhirnya menyerah diri serta sanggup ditahan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan.

“Hasil ujian saringan yang dibuat mendapati wanita itu positif dadah methampethamine,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Siti Morni berkata, wanita itu sudah dibawa menjalani ujian calitan COVID-19 dan bersetuju untuk dihantar ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Wanita Bachok.

Katanya, enam anaknya yang berumur 12, lapan, lima, empat dan dua tahun serta bayi yang berusia enam bulan kini dijaga mentuanya di Kampung Ketil, di sini.

“Dia sendiri yang bersetuju untuk dihantar ke PUSPEN bagi menjalani rawatan pemulihan sehingga pulih atau satu tempoh tertentu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top