Melaka: Seorang wanita warga emas bersama anak perempuan dan menantunya dicekup selepas dipercayai memiliki barang terlarang iaitu dadah serta mercun dalam tiga serbuan berasingan di Alor Gajah, di sini, Sabtu lalu.
Warga berusia 64 tahun yang mempunyai 13 anak dan 29 cucu itu ditahan dalam serbuan di kediamannya di Taman Seri Bayu, Alor Gajah pada 11.30 malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.
Beliau berkata, turut ditahan dua rakan lelaki pasangan anak warga emas berkenaan.
“Pemeriksaan polis menjumpai satu paket plastik berisi daun kering disyaki ganja dan dua papan timah mengandungi tiga biji pil Eramin 5 di rumah wanita terbabit.
“Turut ditahan anak perempuannya berusia 25 tahun dan menantunya berusia 23 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan yang dipercayai terbabit dalam jenayah itu selain dua rakan lelaki mereka berusia 21 dan 27 tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, serbuan ke rumah warga emas itu dilakukan hasil maklumat awam.
Bagaimanapun, katanya, ujian saringan air kencing mendapati kelima-lima mereka negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah.
“Hasil maklumat itu, polis melakukan serbuan kedua di sebuah rumah di Melaka Pindah, Alor Gajah pada 12.20 tengah malam Ahad lalu yang didiami pasangan kekasih yang juga rakan kepada kelima-lima suspek terbabit.
“Hasil pemeriksaan polis menjumpai satu balutan kertas mampat seberat 9.73 gram disyaki ganja dan satu beg mengandungi sembilan paket plastik lutsinar disyaki syabu seberat 54.16 gram dianggarkan bernilai RM6,000 mengikut harga pasaran semasa.
“Susulan itu, polis menahan lelaki berusia 24 tahun dan teman wanitanya berusia 36 tahun, masing-masing mempunyai empat dan enam kesalahan dadah,” katanya.
Beliau berkata, ujian air kencing kedua-dua mereka didapati positif dadah jenis syabu dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 kerana positif dadah dan mengikut Seksyen 39B ADB 1952 kerana memiliki dadah.
Menurutnya, polis membuat serbuan ketiga pada 3 pagi semalam di rumah suspek berusia 23 tahun yang juga menantu wanita warga emas itu di Durian Tunggal sebelum menemukan lapan kotak besar mengandungi pelbagai jenis bunga api dan mercun dianggarkan bernilai lebih RM2,000.
“Bekalan mercun dan bunga api itu dipercayai diperoleh secara berperingkat untuk jualan pada musim perayaan akan datang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda yang boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.