Wanita bingung kereta ‘total loss’ muncul dalam kemalangan setahun kemudian

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Sebuah kereta yang dilupuskan selepas kemalangan dua tahun lalu didakwa terlibat dalam kemalangan lebih setahun kemudian.

PETALING JAYA: Seorang wanita yang keretanya dilupuskan pada 2019 terkejut apabila mengetahui dia disaman atas kemalangan yang berlaku lebih setahun, selepas kenderaan itu dianggap mustahil untuk dibaiki semula.

Wanita hanya mahu dikenali sebagai Lee, berkata dia terlibat dalam kemalangan yang serius pada Jun 2019, yang mengakibatkan kereta jenis Toyota Vios itu dilupuskan oleh syarikat insurans selepas bengkel panel menganggapnya sebagai “total loss”.

Selepas diberikan tuntutan sebanyak RM45,000 dan pulih daripada kecederaan, wanita itu menganggap penderitaannya sudah berlalu.

Namun, dia dinamakan sebagai seorang defendan dalam satu saman sivil yang difailkan bulan lalu, sebagai pemilik kenderaan yang berdaftar terlibat dalam kemalangan pada November tahun lalu di Kampung Banggol di Kelantan, 300km dari rumahnya di Taiping, Perak.

Butiran pendaftaran kereta itu sama dengan kenderaan miliknya sebelum ini.

“Pada awalnya, saya ingatkan itu adalah ‘scam’, kerana kereta saya memang mengalami ‘total loss’,” katanya kepada FMT, mengimbau kali pertama dia diberitahu mengenai proses undang-undang.

Plaintif termasuk seorang lelaki yang terlibat dalam kemalangan pada November itu bersama bapanya, yang menuntut ganti rugi dalam bentuk bayaran bil hospital, kehilangan pendapatan dan lain-lain.

Pasukan perundangan Lee tidak dapat mengesahkan jenis, model dan enjin kereta yang terlibat dalam kemalangan di Kelantan itu. Dia kemudian membuat laporan polis di Taiping, dan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang sendiri.